Jimat guna air serta-merta: Ketua menteri

Kon Yeow (tengah) diiringi Jaseni (kiri) meninjau kapasiti air di Empangan Air Itam pagi tadi.
Kon Yeow (tengah) diiringi Jaseni (kiri) meninjau kapasiti air di Empangan Air Itam pagi tadi.
A
A
A

GEORGETOWN - Seramai 175,000 penduduk sekitar Air Itam dan Paya Terubong dinasihatkan mengurangkan penggunaan air harian kerana kapasiti efektif bagi Empangan Air Itam hanya cukup sehingga 48 hari sahaja.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kapasiti efektif bagi empangan tersebut sehingga Jumaat lalu mencatatkan 49.1 peratus.

Menurutnya, sekiranya tiada hujan yang mencukupi, empangan itu akan kehabisan bekalan air pada akhir Mei ini.

"Bacaan kapasiti efektif itu diambil pada Jumaat iaitu 49.1 peratus namun pada malamnya, ada hujan. Oleh demikian, bacaan terkini kapasiti efektif untuk Empangan Air Itam adalah 50.3 peratus.

"Jumlah itu masih kurang jika dibandingkan ketika fenomena super El Nino pada 2016. Tempoh yang sama pada ketika itu bacaan kapasiti efektifnya adalah 70.4 peratus (tempoh bekalan 69 hari) walaupun jumlah hujan kurang. Ini bermakna, pada waktu ini, cuaca panas dan kering dilihat lebih buruk dari tiga tahun lalu.

"Sehubungan itu, kerajaan negeri dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) meminta rakyat mengurangkan penggunaan air serta-merta. Purata pelepasan dari Januari hingga 22 Mac adalah 0.53 peratus sehari.

"Oleh itu, kami berharap agar rakyat membantu kami mengurangkan purata pelepasan air harian dari empangan ini," katanya.

Kon Yeow berkata demikian ketika ditemui media selepas melawat Empangan Air Itam yang turut diiringi Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk Jaseni Maidinsa pagi tadi.

Artikel Berkaitan:

Bekalan air di Empangan Air Itam berkurangan dan hanya cukup untuk 48 hari sahaja.
Bekalan air di Empangan Air Itam berkurangan dan hanya cukup untuk 48 hari sahaja.

Kon Yeow yang juga Pengerusi PBAPP berkata, PBAPP menjalankan tugas pada tahap amaran tinggi untuk memastikan bekalan air mencukupi.

"Jumlah kapasiti pada Januari lalu bagi empangan ini adalah 92.2 peratus iaitu penurunan sebanyak 43.1 peratus untuk tempoh 81 hari (1 Januari hingga 22 Mac) dengan jumlah hujan 247 milimeter (mm).

"Data ini menunjukkan penyebab utama pengurangan rizab simpanan air mentah di Empangan Air Itam pada tahun ini adalah cuaca panas dan kering melampau (kadar hujan rendah). Selain itu, penggunaan air yang tinggi di Air Itam, Paya Terubong dan kawasan sekitarnya tempoh dari 1 Januari hingga Jumaat lalu," katanya.

Sementara itu, Jaseni berkata, paras air Sungai Muda berada pada tahap berjaga-jaga iaitu 1.82 meter.

Menurutnya, PBAPP mengabstrak 1,000 mililiter sehari (MLD) air dari Sungai Muda untuk memenuhi lebih 80 peratus permintaan di Pulau Pinang setiap hari.

"Paras air Sungai Muda telah turun di bawah paras amaran PBAPP iaitu dua meter selama 42 hari berturut-turut. Dua empangan iaitu Beris dan Muda melepas air ke Sungai Muda. Sehingga Jumaat lalu, kapasiti Empangan Muda dicatatkan 49.6 peratus manakala Beris 73.3 peratus.

"Bagaimanapun, kita tetap bimbang dengan paras rendah Sungai Muda kerana PBAPP mengabstrak air dari sungai tersebut di hilir 14 loji rawatan air Kedah dan empat muka sauk pengairan," katanya.

Tambahnya, kapasiti ekfektif dua empangan utama Pulau Pinang iaitu Teluk Bahang dicatatkan 71.1 peratus manakala Mengkuang, 47 peratus.