Identiti mayat rentung dalam kereta belum dikenal pasti

Keadaan sebuah kereta Proton Wira yang musnah terbakar dalam kejadian di Kampung Taman Jaya pada Isnin.
Keadaan sebuah kereta Proton Wira yang musnah terbakar dalam kejadian di Kampung Taman Jaya pada Isnin.
A
A
A

JEMPOL - Polis masih belum dapat mengenal pasti identiti mayat rentung di dalam sebuah kereta Proton Wira yang terbakar dalam kejadian di Kampung Taman Jaya di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superitendan Hoo Chang Hook berkata, berdasarkan semakan pada nombor casis kenderaan terbabit mendapati, pemilik kenderaan itu ialah R Ramasamy yang berusia 42 tahun.

"Berdasarkan alamat lelaki terbabit, dia tinggal di Kampung Baru Jementah di Johor dan Ladang Kok Foh Bahau di sini.

"Kita percaya mayat yang rentung itu adalah pemilik kenderaan terbabit kerana lelaki yang bernama Ramasamy itu gagal dihubungi," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Menurutnya, tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai berhampiran mayat terbabit dan punca kejadian masih dalam siasatan.

Beliau berkata, siasatan awal oleh pasukan Forensik mendapati tidak terdapat unsur perbuatan jenayah yang boleh dikaitkan dengan kejadian itu.

"Siasatan awal di tempat kejadian juga tidak menemui unsur khianat, bagaimanapun pihak forensik bomba yang menggunakan anjing pengesan menjumpai kesan bahan bakar di tempat pemandu dan bahagian luar hadapan kereta.

"Jenis bahan bakar masih belum diketahui dan sampel sudah diambil untuk dianalisa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Chang Hook berkata, mayat dihantar ke Hospital Jempol untuk dibedah siasat dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.