Penunggang basikal maut dirempuh kereta terbabas

Keadaan basikal mangsa selepas dirempuh kereta terbabas dalam kemalangan di KM15, Jalan Benta-Jerantut pada Ahad.
Keadaan basikal mangsa selepas dirempuh kereta terbabas dalam kemalangan di KM15, Jalan Benta-Jerantut pada Ahad.
A
A
A

LIPIS- Seorang penunggang basikal maut akibat dilanggar sebuah kereta yang terbabas dalam kemalangan di Kilometer 15, Jalan Benta-Jerantut, di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, mangsa, Mohamad Awang, 66 dari Kampung Kemahang Benta di sini meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Lipis.

Menurutnya, pemandu kereta, Mohd Yunus Harun, 62 dari Kampung Jeransang, Benta tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Berdasarkan siasatan awal, kemalangan berlaku ketika mangsa yang bekerja sebagai tukang kebun menunggang basikal dalam perjalanan dari arah Benta menghala ke Jerantut.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, sebuah kereta jenis Proton Wira dipandu penoreh getah (Mohd Yunus) dari arah Jerantut menghala ke Benta hilang kawalan lalu terbabas memasuki laluan bertentangan dan melanggar mangsa," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Azli berkata, mangsa yang mengalami kecederaan parah dihantar ke Hospital Lipis untuk menerima rawatan.

"Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira jam 5.42 petang ketika menerima rawatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel Berkaitan: