MoU: UMNO tidak terikat jika saran bubar Parlimen

Isham
Isham
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] UMNO tidak terikat dengan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik jika ingin menyarankan kepada Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen.

Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil berkata, ia berikutan UMNO tidak pernah setuju menandatangani MoU antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH).

"Jadi itu antara kerajaan dengan PH, bukannya UMNO dengan PH.

"UMNO sudah membuat keputusan tidak akan melanjutkan MoU dan tidak menyokong kerajaan jika mahu MoU dilanjutkan.

"Kita juga tidak terkekang apabila mahu menyarankan kepada Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen," katanya dalam sidang akhbarpada Ahad.

Mengulas lanjut, Isham turut membidas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook yang meminta UMNO tidak masuk campur dalam MoU berkenaan.

Menurutnya, perlu diingatkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah daripada parti UMNO.

"Beliau adalah 'parti man'. Saya ingat 'parti man' biasanya akan 'consult' (berbincang) dengan kami (UMNO) dulu.

Artikel Berkaitan:

"Saya percaya beliau akan berbuat begitu sebab dia 'parti man'.

"Jadi apa yang dikatakan oleh Anthony Loke untuk tidak masuk campur itu, saya rasa dia tidak faham mengenai MoU ini antara kerajaan dengan PH," ujarnya.

Pada Sabtu, Anathony Loke memaklumkan bahawa MoU tersebut adalah persefahaman antara PH dengan kerajaan Persekutuan dan bukannya dengan pucuk pimpinan UMNO.

Katanya, keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO untuk tidak meneruskan MoU dengan PH selepas 31 Julai ini adalah urusan Ismail Sabri dengan partinya.