Sila log masuk terlebih dahulu.

Anugerah Media MSOSH pengiktirafan tinggi kepada pengamal media

Chamil (kanan) dan Shawaludin pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Anugerah Media MSOSH 2022 di sebuah hotel pada Sabtu.
Chamil (kanan) dan Shawaludin pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Anugerah Media MSOSH 2022 di sebuah hotel pada Sabtu.
A
A
A

SUBANG - Anugerah Media Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH) 2022 diangkat sebagai satu acara yang berasingan daripada Anugerah MSOSH OSH.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Dr Chamil Wariya berkata, ia merupakan satu pengiktirafan tinggi dari MSOSH kepada para pengamal media di negara ini.

Beliau percaya anugerah itu dapat membuka mata kelompok wartawan untuk memaparkan laporan-laporan berkaitan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (KKP) yang amat penting diketahui oleh golongan pekerja dan majikan di negara ini.

"Sejak Anugerah Media MSOSH diperkenalkan pada 2019, penyertaan yang kita terima mencatatkan peningkatan yang membanggakan.

"Bagi anugerah 2019, kita menerima 48 penyertaan. Pada 2020, jumlah adalah 59 dan tahun lalu, 78 pengamal media telah mengambil bahagian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Anugerah Media MSOSH 2022 di sebuah hotel di sini pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Chamil berkata, anugerah berkenaan juga ditambah kepada tiga kategori meliputi media cetak dan portal berita, media penyiaran televisyen dan video atas talian serta media penyiaran radio dan radio online.

Beliau berharap, penyertaan bagi tahun 2022 adalah lebih baik daripada tahun lalu dengan kualiti pengisian yang lebih mantap dan berwibawa.

Artikel Berkaitan:

"Saya menyeru para wartawan untuk menyahut cabaran untuk meneroka pemahaman KKP di negara-negara luar. Sektor KKP adalah sangat penting dan sangat inklusif.

"Adalah penting untuk memahami bagaimana kita dapat mencegah kemalangan dan sentiasa sihat di tempat kerja," katanya.

Pemenang pertama anugerah itu akan memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM2,500, RM1,500 bagi hadiah kedua dan RM1,000 bagi hadiah ketiga.

Tarikh siaran bagi laporan untuk anugerah berkenaan bermula dari 10 September 2021 hingga 30 Jun 2022 manakala tarikh tutup penyertaan adalah pada 10 Julai tahun ini.

Sementara itu, Presiden MSOSH, Dr Shawaludin Husin berkata, MSOSH sekali lagi akan menjadi penganjur Mesyuarat Agung Tahunan dan Persidangan Asia Pacific Occupational Safety & Health Organization (APOSHO) 2023.

Jelasnya, biarpun pernah menjadi tuan rumah sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1994 dan 2003, namun usaha untuk mengadakan persidangan di waktu krisis Covid-19 memberi cabaran berlainan buat MSOSH.

"Tugas untuk menjadi hos dalam Persidangan APOSHO ke-37 ini bukanlah mudah.

"MSOSH beriltizam untuk memberikan komitmen penuh dalam memastikan penganjuran Persidangan APOSHO tahun hadapan akan berjaya dilaksanakan dengan sempurna," katanya.