Isu harga, bekalan ayam ke mesyuarat NACCOL minggu depan

Rosol (kanan) melihat ayam yang dijual ketika meninjau Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di Sabasun Hyper Runcit pada Sabtu.
Rosol (kanan) melihat ayam yang dijual ketika meninjau Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di Sabasun Hyper Runcit pada Sabtu.
A
A
A

HULU TERENGGANU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) telah selesai mengadakan mesyuarat bagi membincangkan isu bekalan dan harga ayam pada Jumaat.

Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk Rosol Wahid berkata, mesyuarat khas yang turut disertai Kementerian Kewangan, Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) itu berlangsung dengan positif dan mencapai beberapa cadangan penyelesaian.

Menurutnya, hasil perbincangan dan cadangan itu akan dibawa ke Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) yang bakal dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka pada Jumaat depan.

“Sebarang keputusan untuk menangani isu harga dan bekalan ayam ini bakal diputuskan dalam mesyuarat berkenaan dan perkara ini dijangka dapat diselesaikan sebelum hari raya nanti,” katanya selepas meninjau Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di Sabasun Hyper Runcit, di sini pada Sabtu.

Sementara itu, Rosol memaklumkan KPDNHEP telah mengeluarkan 288 kompaun kepada peniaga, pemborong dan pengeluar ayam di seluruh negara atas pelbagai kesalahan dalam Ops Pantau bermula 3 hingga 15 April lalu.

Menurut beliau, nilai kompaun keseluruhan berjumlah RM151,900 itu melibatkan 181 kesalahan gagal menggunakan tanda harga khas, 89 kes menjual melebihi harga maksimum dan 18 kes kerana tiada tanda harga.

Rosol berkata, sepanjang tempoh 12 hari Ops Pantau dilaksanakan, sebanyak 7,493 premis pengeluar, pemborong dan peruncit ayam segar telah diperiksa penguatkuasa KPDNHEP dengan barang sitaan berjumlah RM46,970.

“Hasilnya, sebanyak 243 kompaun telah dikeluarkan kepada peniaga ayam, 33 kepada pemborong ayam manakala 12 kompaun lagi melibatkan pengeluar ayam.

Artikel Berkaitan:

“Jadi jika ada suara-suara mengatakan kita hanya mengambil tindakan terhadap peruncit itu tidak benar kerana kompaun dikeluarkan kepada semua peringkat yang tidak mematuhi harga maksimum ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.

Jelas beliau, negeri Johor merekodkan jumlah kes paling banyak iaitu 69 kes diikuti Perak (36), Pahang (32), Terengganu (24), Selangor (23), Melaka (21), Kedah (17), Sabah (16), Sarawak (14), Perlis (13), Kelantan (11), Kuala Lumpur (7), Negeri Sembilan (4) dan Pulau Pinang (1).

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 14(1) Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 yang membawa hukuman denda sehingga RM500,000 bagi syarikat dan RM100,000 bagi individu jika sabit kesalahan.