Pemandu maut, 8 penuntut USM terselamat

A
A
A

GERIK - Seorang pemandu maut sementara sembilan penumpang terdiri penuntut Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan terselamat selepas van dinaiki terbabas dan terbalik di KM26 Jalan Raya Timur Barat Gerik-Kupang, hari ini.

Kejadian sekitar jam 5 petang itu berlaku ketika van yang membawa empat penuntut lelaki dan empat penuntut wanita berusia 22 tahun serta pemandu kedua berusia 43 tahun dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Kubang Kerian, Kelantan.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa berkata, seorang daripada penuntut wanita berkenaan mengalami kecederaan patah paha kanan.

"Tiga lagi penuntut mengalami luka ringan masing-masing di bahagian kaki, muka dan belakang badan, manakala lima yang lain tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Pemandu berusia 53 tahun dikenali sebagai Ramli Mat Daud meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala," katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, kenderaan terbabit hilang kawalan dan terbabas ke kanan jalan sebelum terbalik ke dalam longkang.

"Keadaan itu menyebabkan pemandu van terbabit tersepit, kenderaaan pula mengalami kerosakan teruk di bahagian depan, bumbung dan tayar pecah," katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut berhubung kejadian itu masih dijalankan dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan: