Rakaman layanan 'hamba abdi' Siti Bainun ditayang di mahkamah

Siti Bainun hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi menghadapi prosiding kes menganiaya seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun dikenali sebagai Bella pada Jumaat.
Siti Bainun hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi menghadapi prosiding kes menganiaya seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun dikenali sebagai Bella pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat ditunjukkan 10 rakaman video yang mendakwa pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali melayan penghuni rumah kebajikan itu seperti ‘hamba abdi’.

Antara rakaman berkenaan ialah ketika sambutan hari lahir saksi kelima pendakwaan, Yasmin Nahar Mahmood,19, pada 23 Februari 2021, Majlis Aidilfitri (Mei 2021) dan percutian di sebuah hotel di Ampang.

Ketika prosiding kes menganiaya seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun dikenali sebagai Bella di hadapan Hakim Izralizam Sanusi, saksi itu mengulangi jawapan bahawa dia tidak dilayan dengan baik oleh Siti Bainun.

Bagaimanapun ketika menjawab soalan peguam, Nur A'minahtul Mardiah Md Nor yang mewakili Siti Bainun, remaja itu berkata, dia kelihatan ceria dalam rakaman video berkenaan.

Nur A'minahtul Mardiah: Rujuk video ini, ketika sambutan hari lahir awak, suara siapa yang suruh awak tiup lilin di kek?

Yasmin: Siti Bainun.

Nur A'minahtul Mardiah: Ketika Aidilfitri, ia diraikan bersama satu keluarga termasuk mengambil gambar semua penghuni di satu studio, jadi inilah layanan hamba abdi Siti Bainun pada awak.

Yasmin: Ya.

Artikel Berkaitan:

Nur A'minahtul Mardiah: Rujuk satu lagi video, memaparkan Bella memeluk seseorang. Soalan saya, siapa yang Bella peluk paling lama?

Yasmin: Siti Bainun.

Nur A'minahtul Mardiah: Setuju dengan cadangan saya, Bella tak takut dengan pendera dia sendiri?

Yasmin: Setuju.

Nur A'minahtul Mardiah: Rujuk pula video percutian kamu dan adik-adik lain di sebuah hotel di Ampang. Mandi di kolam hotel bersama-sama, saya cadangkan ini juga bentuk layanan seperti hamba abdi Siti Bainun pada awak.

Yasmin: Ya.

Selain itu peguam itu turut mencadangkan bahawa Yasmin memberi 10 keterangan palsu di mahkamah, namun ia dinafikan oleh saksi berkenaan.

Antara yang dicadangkan ialah Yasmin berbohong menjaga enam penghuni Rumah Bonda termasuk tiga kanak-kanak Sindrom Down, sedangkan Siti Bainun mempunyai pembantu rumah (bibik).

Remaja itu turut berkata, betul ketika dicadangkan bahawa Bella berada dalam keadaan lemah ketika berjalan kemudian terjatuh kerana sering berdiri dalam tempoh yang terlalu lama.

Bagaimanapun Yasmin tidak bersetuju bahawa keterangannya sama 100 peratus dengan keterangan saksi pendakwaan pertama, iaitu rakan baik tertuduh, Zurianty Sudin, 39, sebelum ini.

Pada 20 Ogos 2021, Siti Bainun didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, sebagai orang yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga kanak-kanak perempuan Sindrom Down berusia 13 tahun telah mengabaikan iaitu dengan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Pada 20 November 2021, pengasas Rumah Bonda itu didakwa sekali lagi di mahkamah sama atas pertuduhan menganiaya seorang remaja perempuan Sindrom Down berusia 13 tahun.

Prosiding bersambung Rabu ini.