Raja Muda Kedah berkenan tunai zakat fitrah

Tengku Sarafudin (duduk kanan) berkenan menunaikan zakat fitrah kepada Zakaria (duduk kiri) di Masjid Zahir, Alor Setar pada Jumaat.
Tengku Sarafudin (duduk kanan) berkenan menunaikan zakat fitrah kepada Zakaria (duduk kiri) di Masjid Zahir, Alor Setar pada Jumaat.
A
A
A

ALOR SETAR - Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin berkenan menunaikan zakat fitrah di Masjid Zahir di sini pada Jumaat.

Baginda membayar zakat fitrah berkenaan selepas menunaikan Solat Jumaat kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Datuk Zakaria Othman di pekarangan masjid tersebut.

Majlis Pembayaran zakat fitrah kemudiannya diakhiri dengan bacaan doa oleh Mufti Kedah, Datuk Fadzil Awang.

Hadir sama, Exco Komunikasi dan Multimedia, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Wan Romani Wan Salim dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK), Datuk Mohd Yusri Md Daud.

Dalam perkembangan sama, Zakaria berkata, Tengku Sarafudin berkenan menunaikan kewajipan zakat fitrah itu melalui pembayaran secara dalam talian (online).

Zakaria berkata, LZNK memperkenalkan bayaran zakat fitrah secara dalam talian bagi semua amil-amil dilatih dan juga kaunter bayaran tahun ini.

Beliau menjelaskan, bayaran secara talian yang diperkenalkan LZNK telah lama wujud namun kaedah pembayaran ditambah baik tahun ini.

"Cara bayaran secara tunai namun resit diterima secara talian supaya tidak akan berlaku pembaziran resit dan pembayar akan dapat menyimpan resit asal dan mencetak resit apabila perlu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, selain itu, kaedah ini membolehkan LZNK menerima data pembayar secara dalam talian dan seterusnya data pembayar direkodkan.

Zakaria berkata, beliau bersyukur kerana setakat ini penggunaan kaedah bayaran secara dalam talian di Kedah didapati makin menyeluruh.

Tambah beliau, LZNK menyasarkan kutipan zakat fitrah sebanyak RM11.7 juta pada tahun 2022.

"Pada minggu akhir adalah minggu kemuncak (bayaran zakat fitrah), jadi pada tahun ini kita sasarkan kutipan zakat fitrah sebanyak RM11.7 juta, yang mana akan diagihkan kepada penerima pada 24 April depan,"katanya.

Ujarnya, kumpulan yang akan menerima zakat ialah fakir,miskin,mualaf dan fisabilillah bagi memberi keselesaan, kesenangan kepada asnaf yang menerima untuk membuat persiapan Aidilfitri.

Dalam perkembangan lain, katanya, pihaknya membuka membuka ruang kepada orang ramai yang ingin memberi sumbangan ayam kepada asnaf dengan sasaran 7,000 keluarga dengan setiap keluarga akan menerima dua ekor ayam.

"Orang ramai yang ingin memberi sumbangan ayam kepada keluarga fakir boleh melayari laman web asnafcare.com.my untuk membuat sumbangan," katanya.