Polis kesan modus operandi sindiket tipu pinjaman tidak wujud

Datuk Mohd Kamarudin Md Din
Datuk Mohd Kamarudin Md Din
A
A
A

KUALA LUMPUR - Modus operandi sindiket penipuan pinjaman tidak wujud untuk mendapatkan wang adalah dengan meminta bayaran pendahuluan yang kononnya perlu dibayar oleh mangsa sebelum pinjaman diluluskan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, pelbagai alasan sindiket digunakan untuk mendapatkan bayaran pendahuluan tersebut antaranya sebagai bayaran guaman, insurans, bayaran untuk pengaktifan akaun dan sebagainya.

"Hakikatnya, perkara tersebut adalah bertentangan dengan kaedah pinjaman wang yang dipraktikkan oleh institusi perbankan ataupun syarikat pinjaman wang berlesen yang mana sebarang wang proses atau yuran yang perlu dibayar akan dimasukkan sebagai sebahagian daripada jumlah pinjaman," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Mohd Kamarudin berkata, apa jua pinjaman yang meminta bayaran pendahuluan adalah satu penipuan.

"Orang ramai adalah dinasihatkan untuk sentiasa berhati-hati dan tidak menjadi mangsa kepada sindiket penipuan pinjaman tidak wujud," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan statistik kes penipuan pinjaman tidak wujud terus mencatatkan jumlah kes yang tinggi.

"Sepanjang 2019, sejumlah 5,039 kes telah dilaporkan dengan kerugian sebanyak RM48 juta, kes ini meningkat kepada 5,718 kes dilaporkan dengan kerugian sebanyak RM62 juta pada 2020.

"Pada tahun lalu sebanyak 4,784 kes telah dilaporkan melibatkan kerugian sebanyak RM50 juta. Sebanyak 903 kes telah dicatatkan dengan kerugian lebih RM 8 juta sejak Januari hingga April lalu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Kamarudin berkata, sebarang nasihat atau kemusykilan berkaitan jenayah komersial orang ramai bolehlah merujuk kepada CCID Scam Response Center di talian 03-2610 1559 atau 03-2610 1599.