Cengkaman Daesh berakhir?

SDF telah melancarkan operasi ketenteraan di wilayah Baghouz sejak beberapa minggu lalu.
SDF telah melancarkan operasi ketenteraan di wilayah Baghouz sejak beberapa minggu lalu.
A
A
A

DAMSYIK - SYRIA. Kumpulan militan Daesh telah ditewaskan di wilayah terakhir Baghouz di Syria yang berada di bawah cengkaman mereka.

Pengumuman itu dibuat Tentera Demokratik Syria (SDF) pada Sabtu, sekali gus menandakan berakhirnya 'kerajaan khalifah' yang pernah menguasai satu pertiga wilayah di Iraq dan Syria sejak 2014.

"SDF mengisytiharkan penghapusan sepenuhnya 'kerajaan khalifah' itu. Baghouz telah dibebaskan. Kemenangan mengalahkan Daesh telah dicapai," kata ketua pejabat media pasukan tentera disokong Amerika Syarikat itu menerusi Twitter.

SDF telah melancarkan operasi ketenteraan di sempadan Iraq untuk menguasai semula wilayah itu sejak beberapa minggu lalu.

"Kami memperbaharui ikrar kami untuk meneruskan peperangan terhadap Daesh dan menghapuskan seluruh saki baki kumpulan militan terbabit," tegasnya lagi.

Walaupun kekalahan Daesh di Baghouz telah mengakhiri cengkaman mereka di Syria dan Iraq, kumpulan militan terbabit masih dilihat sebagai ancaman besar kerana sebahagian daripada anggota mereka dipercayai masih bersembunyi di kawasan gurun terpencil di Damsyik dan Baghdad.

Difahamkan, pemimpin Daesh, Abu Bakr al-Baghdadi dipercayai masih berada di Iraq walaupun beberapa laporan sebelum ini mendakwa dia terkorban dalam serangan.

Al-Baghdadi yang digelar The Ghost tidak pernah muncul di khalayak ramai sejak dia menyampaikan khutbah di Masjid al-Nuri di Mosul dan mengisytiharkan dirinya sebagai 'khalifah' kira-kira lima tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Rakaman suara terakhir kepada para pengikutnya dikeluarkan pada Ogos lalu kira-kira lapan bulan selepas Iraq mengumumkan kekalahan Daesh di wilayah terbabit. - Agensi