Anak yatim, asnaf kembali dirai selepas pandemik Covid-19

Faizul Rohban (tiga dari kiri di belakang) menyantuni anak-anak yatim yang hadir ke Majlis Kongsi Kaseh Bersama Kemudi anjuran syarikat pengeluar kopi Manja Qaseh dan Arjuna Qaseh iaitu FR Qaseh Marketing Sdn Bhd.
Faizul Rohban (tiga dari kiri di belakang) menyantuni anak-anak yatim yang hadir ke Majlis Kongsi Kaseh Bersama Kemudi anjuran syarikat pengeluar kopi Manja Qaseh dan Arjuna Qaseh iaitu FR Qaseh Marketing Sdn Bhd.
A
A
A

KOTA BHARU - Selepas dua tahun negara diserang pandemik Covid-19, golongan asnaf dan anak yatim kembali diraikan pada majlis penyampaian sumbangan serta berbuka puasa.

Kegembiraan mereka dapat dilihat pada Majlis Kongsi Kaseh Bersama Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) anjuran syarikat pengeluar kopi Manja Qaseh dan Arjuna Qaseh iaitu FR Qaseh Marketing Sdn Bhd.

Seorang anak yatim piatu, Nik Mohd Daniel Mohd Rosdi, 12, mengakui teruja terpilih hadir ke program berkenaan.

"Sudah lama saya tidak merasai nikmat berada di majlis begini sejak Covid-19. Alhamdulillah hari ini diberi kesempatan oleh ALLAH untuk hadir," katanya kepada Sinar Harian.

Ku Mohd Amar Asyraf Ku Azman,15, pula menganggap majlis berkenaan merupakan 'hadiah' terindah buat dirinya sebagai seorang pelajar Tahfiz Guchil Bayam.

"Terima kasih kepada pihak berkenaan kerana sudi menganjurkan majlis meriah ini. Saya harap ia dapat diteruskan pada masa akan datang," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan FR Qaseh Sdn Bhd, Faizul Rohban Ahmad berkata, penganjuran majlis tersebut membolehkan pihaknya menyantuni golongan kurang berkemampuan sepanjang Ramadan tahun ini selain dapat berbuka puasa bersama

"Selepas dua tahun tidak dapat bersama akibat Covid-19, hari ini kita dipertemukan semula," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, ia sekali gus dapat merapatkan semula ukhuwah persaudaraan semasa manusia jauh terpisah disebabkan oleh Covid-19.

Pada majlis sama, mereka turut memberi sumbangan makanan dan duit raya kepada anak-anak yatim serta asnaf.

Hadir sama Pengarah Jabatan Penyiaran Kelantan, Wan Azhan Wan Hamat dan Presiden Kemudi, Majidah Ismail.