Sabah terkilan dakwaan enggan lepaskan Saddil untuk Indonesia

No Image Caption
A
A
A

KELAB Liga Super, Sabah FC kecewa dengan laporan yang mengatakan pemain sayapnya, Saddil Ramdani mendakwa pengurusan The Rhinos enggan melepaskannya untuk pasukan kebangsaan Indonesia dengan alasan yang disifatkan sebagai tidak wajar

Pengurus Sabah FC, Ahmad Marzuki Nasir berkata, untuk rekod Sabah FC bersetuju melepaskan Saddil bagi tugasan pasukan kebangsaan dalam tempoh kalendar perlawanan FIFA dari 30 Mei hingga 14 Jun ini.

"Jadi, apakah sebab pada kekeliruan dan kritikan ini? Perkara ini telah dibincangkan panjang lebar antara kelab dan Saddil memahami sebab mengapa kelab tidak melepaskannya di luar kalendar perlawanan FIFA.

"Seperti dinyatakan dalam Peraturan FIFA mengenai Status dan Pemindahan Pemain, di bawah pelepasan pemain kepada pasukan persatuan dan untuk rekod, Saddil ialah pemain utama dan tiada pasukan dalam bola sepak dunia akan melepaskan pemain berkualiti di luar tempoh kalendar FIFA,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Ahmad Marzuki berkata, Sabah FC dimaklumkan terdapat laporan mendakwa The Rhinos tidak memberi kerjasama dengan enggan melepaskan Saddil untuk panggilan pasukan kebangsaan Indonesia bagi menghadapi Sukan SEA Hanoi.

"Temasya sukan itu akan diadakan secara rasmi dari 12 hingga 23 Mei, 2022 dan (acara) bola sepak akan dipertandingkan antara 6 dan 22, 2022.

"Untuk rekod, kalendar FIFA adalah pada 30 Mei hingga 14 Jun, 2022 iaitu bermakna Sukan SEA dianjurkan di luar kalendar FIFA.

"Sabah FC tetap dengan keputusan tersebut memandangkan khidmat Saddil diperlukan untuk Liga Super dan 16 perlawanan pusingan Piala FA yang diadakan pada masa sama dengan Sukan SEA,” ujar Ahmad Marzuki.

Artikel Berkaitan: