MAFI siasat dakwaan status halal rumah sembelih diragui

Ronald Kiandee
Ronald Kiandee
A
A
A

CYBERJAYA - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan menyiasat dakwaan status halal diragui melibatkan sebuah rumah penyembelihan haiwan di Australia yang mana produknya dieksport ke Malaysia.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee menegaskan, kementerian tidak akan berkompromi serta bertolak ansur dalam soal keselamatan makanan dan aspek pengiktirafan halal produk makanan yang diimport.

“Pihak kementerian akan menyiasat berita (pendedahan) ini. Sudah tentu saya akan memaklumkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk melihat isu ini.

“Kita mengambil berat isu kesihatan dan keselamatan makanan serta isu pengiktirafan halal bagi setiap produk makanan yang dibawa masuk ke dalam negara,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Duit Syiling Peringatan 50 Tahun Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di sini, pada Khamis.

Laporan muka depan sebuah akhbar berbahasa Melayu pada Khamis mendedahkan, status halal sebuah rumah penyembelihan haiwan di Australia yang turut mengeksport daging ke Malaysia diragui apabila prosedur penyembelihan didakwa tidak mengikut syariat Islam.

Dilaporkan, pusat penyembelihan di Lobethal, Selatan Australia itu turut tersenarai dan diiktiraf kerajaan Malaysia sekali gus mendapat perakuan badan pensijilan halal luar negara di Australia.

Mengulas lanjut Ronald menjelaskan, semua loji ternakan dan pemprosesan produk makanan dibawa masuk ke Malaysia perlu melalui pengauditan yang ketat daripada beberapa agensi di negara ini.

"Ia diaudit oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Artikel Berkaitan:

“Jadi kita cuma membenarkan produk-produk makanan ternakan dari luar masuk dibawa masuk melalui loji-loji yang telah diberi pengiktirafan oleh negara kita," katanya.