SPRM masih siasat dakwaan parti politik terima dana judi

Azam Baki
Azam Baki
A
A
A

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih lagi menyiasat laporan berhubung dakwaan sebuah parti politik menerima dana daripada syarikat perjudian untuk berkempen dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, beliau tidak boleh mendedahkan nama parti politik terbabit, namun mengesahkan telah menjalankan siasatan selepas mendapat aduan berkaitan isu tersebut.

“Saya mengesahkan SPRM sedang menyiasat laporan yang diterima berhubung ada parti politik yang didakwa dibiayai oleh syarikat perjudian,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Kali Ketiga Pemerhati Rasuah Malaysia di Universiti Putra Malaysia di sini, pada Sabtu.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan, SPRM belum dapat membuktikan dakwaan Perikatan Nasional (PN) menerima dana daripada syarikat perjudian untuk berkempen dalam PRU15, namun kes siasatan masih terbuka.

Perkara itu diberitahu oleh Azalina menerusi jawapan bertulisnya di Dewan Rakyat.

Beliau berkata, SPRM sudah menjalankan kajian terperinci berkaitan perkara tersebut namun mendapati maklumat yang diberikan terlalu umum dan tiada pihak yang boleh mengesahkan isu berkenaan.