Kontraktor wanita rugi hampir RM300,000 ditipu Macau Scam

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

BEAUFORT - Seorang kontraktor wanita terpaksa berputih mata apabila wang simpanannya hampir RM300,000 'disedut' selama lima bulan oleh sindiket Macau Scam.

Wanita berusia 60 tahun itu hanya menyedari diperdaya oleh sindiket ketika mahu mengeluarkan wang simpanannya pada Rabu lalu di salah sebuah bank di Pekan Beaufort.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yussof Zaki Mat Yaccob berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada mangsa pada hari yang sama kira-kira jam 2 petang.

"Menurut laporan, mangsa pada 12 November 2021 kira-kira jam 12 tengah hari ketika berada dikediamannya telah menerima panggilan daripada individu yang mengatakan dia adalah sebagai pegawai insurans dan mangsa dikatakan telah membuat tuntutan insurans sebanyak RM70,000 yang mencurigakan.

"Seterusnya panggilan mangsa telah disambungkan kepada individu yang mendakwa sebagai pegawai polis bahagian siasatan sebelum dimaklumkan namanya terlibat dengan pengubahan wang haram dan untuk membersihkan namanya supaya tidak terlibat dengan jenayah, mangsa diminta membuka satu akaun bank yang baharu untuk tujuan siasatan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Katanya lagi, mangsa yang percaya individu itu sebagai pihak polis telah memberikan nombor akaun bank, nombor pin keselamatan dan nama pengguna kepada individu yang menyamar itu.

"Mangsa juga diarahkan untuk tidak mengemas kini akaun banknya serta tidak berhubung dengan orang lain agar tidak mengganggu siasatan mereka.

"Bagaimanapun, mangsa pada Rabu telah pergi ke cawangan bank di Pekan Beaufort untuk tujuan mengeluarkan wang, namun terkejut apabila mendapat tahu wang telah dikeluarkan bermula dari tarikh 13 November 2021 sehingga 29 Mac lalu berjumlah RM 294,118.50.

Artikel Berkaitan:

"Wang itu dikeluarkan melalui pindahan 'duit now' dengan menggunakan nombor telefon," katanya.

Sehubungan itu, Yussof Zaki berkata, seramai sembilan individu yang dikenal pasti terlibat dalam kegiatan itu dan usaha mengesan suspek sedang dilakukan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana tipu," katanya.