Ah long buat ugutan simbah cat merah ditahan

Keadaan rumah peminjam yang disimbah cat merah oleh ahli sindiket pinjaman wang tidak berlesen.
Keadaan rumah peminjam yang disimbah cat merah oleh ahli sindiket pinjaman wang tidak berlesen.
A
A
A

ALOR SETAR - Dua lelaki dipercayai ahli sindiket pinjaman wang tidak berlesen dikenali 'Ah Long Siber' yang membuat ugutan terhadap beberapa peminjam ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Selasa.

Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, suspek ditahan hasil risikan dan makluman Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kedah di sebuah rumah di Pumpong, di sini.

Katanya, sindiket akan mengugut peminjam supaya membuat bayaran segera dengan kadar bunga yang tinggi dan sekiranya peminjam gagal membuat bayaran, maka sindiket akan mengupah orang untuk menghantar notis ugutan serta membaling cat.

"Siasatan awal mendapati sindiket ini beroperasi sejak sebulan yang lalu dan kegiatan dilakukan sekitar Alor Setar, Sungai Petani dan Kubang Pasu.

"Sindiket akan meminta peminjam mengisi maklumat peribadi dan nombor akaun bank dalam satu aplikasi diberi sebelum sindiket memasukkan wang ke dalam akaun peminjam sebanyak RM300 sama ada peminjam setuju ataupun tidak," katanya pada sidang media di IPD Kota Setar, di sini, pada Rabu.

Tambah beliau, modus operandi sindiket ini adalah dengan mengiklankan tawaran pinjaman di aplikasi media sosial seperti Facebook, WeChat dan WhatsApp yang menyasarkan kepada golongan peniaga, kakitangan kerajaan dan swasta.

Katanya, ahli sindiket ini juga akan berpakat untuk menghubungi peminjam yang gagal melunaskan bayaran pinjaman dengan menawarkan pinjaman baru bagi menyelesaikan bayaran pinjaman terdahulu.

Beliau menjelaskan, ini bagi membolehkan ahli sindiket meneruskan kontak dengan peminjam untuk memaksa peminjam membuat bayaran berlipat kali ganda menerusi faedah yang dikenakan secara berterusan.

Artikel Berkaitan:

"Dengan penahanan dua suspek itu, polis telah berjaya menyelesaikan 11 kes di Kedah,yang mana melibatkan empat laporan polis di daerah Kota Setar, lima di Kuala Muda dan dua dari Kubang Pasu," katanya.

Wan Hassan (kanan) menunjukkan keadaan rumah peminjam yang disimbah cat merah pada sidang media di IPD Kota Setar, di sini, pada Rabu.
Wan Hassan (kanan) menunjukkan keadaan rumah peminjam yang disimbah cat merah pada sidang media di IPD Kota Setar, di sini, pada Rabu.