MOSTI lancar Pelan Hala Tuju Teknologi dan Produk Nano Negara

Dr Adham Baba
Dr Adham Baba
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) pada Rabu melancarkan Pelan Hala Tuju Teknologi dan Produk Nano Negara.

Menteri MOSTI, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, pelan itu merupakan dokumen sokongan utama bagi Dasar dan Strategi Nanoteknologi Negara 2021-2030 (DSNN 2021-2030) untuk merancakkan industri nano di Malaysia.

Menurutnya, pelan tersebut bertujuan menyeragamkan pembangunan nanoteknologi negara, memperkukuh, memantapkan hubungan serta kerjasama antara industri dan akademia dalam memastikan teknologi yang dibangunkan memenuhi kehendak industri serta keperluan pasaran.

“Menurut data daripada Global Inc tahun 2020, pasaran Asia Pasifik diunjurkan pada AS$2.671 trilion tahun 2025.

“Bagi merealisasikan hasrat negara untuk menjadi pemain industri nano di peringkat serantau, ia memerlukan satu bentuk kerjasama yang menyeluruh khususnya bersama agensi-agensi dan kementerian yang lain,” katanya dalam satu kenyataan.

Adham berkata, daripada data NanoVerify Sdn Bhd tahun 2020, lebih 80 peratus daripada industri nano negara dilaporkan dipelopori oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Katanya, disebabkan itu tumpuan turut diberikan kepada program-program intervensi bagi meningkatkan teknologi dan produk dalam kalangan PKS seperti bantuan kewangan, fasiliti dan program pensijilan produk nano untuk meningkatkan jualan serta keyakinan pengguna bagi menembusi pasaran luar.

Beliau berkata, inisiatif itu juga dijajarkan dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara 2021-2030 (DSTIN 2021-2030) dan Dasar Keusahawanan Nasional 2030.

Artikel Berkaitan:

“Untuk mencapai sumbangan PKS kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 50 peratus, jumlah nilai dagangan sebanyak 30 peratus seterusnya mencipta 80 peratus peluang pekerjaan baharu,” ujarnya.

Tegasnya, dalam tempoh lima tahun, pelan hala tuju itu akan memberi faedah kepada negara dalam penciptaan 33,391 peluang pekerjaan serta peningkatan KDNK sebanyak RM151.5 bilion.

Di samping itu katanya, industri PKS turut mendapat manfaat melalui pelaburan dan menaik taraf fasiliti kepada 52 syarikat-syarikat nanoteknopreneur atau pemula.

“Pelan hala tuju ini akan memacu ekonomi negara melalui teknologi dan produk nano tempatan sekali gus mencapai nilai pasaran di peringkat global dan asia pasifik dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai pengeksport utama produk berasaskan teknologi tinggi di peringkat ASEAN,” jelasnya.