MSC masih tunggu keputusan MOM

Konfederasi Sepak Takraw Malaysia
Konfederasi Sepak Takraw Malaysia
A
A
A

ENTITI baharu sepak takraw negara, Konfederasi Sepak Takraw Malaysia (MSC) hairan apabila masih belum diterima sebagai ahli gabungan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Selepas diiktiraf dua badan induk antarabangsa iaitu Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) dan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF), MSC hanya mahu menjadi sebahagian daripada MOM dalam misi memperkasakan sukan tradisional itu.

Presiden MSC, Datuk Suhaili Abdul Rahman berkata, pihaknya menghormati bidang kuasa MOM untuk terus mengiktiraf Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), namun ‘bingung’ kerana sehingga kini MSC belum menerima jawapan yang dinanti-nanti.

Justeru, beliau berharap MOM akan menerima MSC kerana menurutnya secara teknikal atau mengikut perlembagaan MOM, PSM tidak layak menjadi ahli gabungan selepas disingkirkan ASTAF dan ISTAF.

“Kita telah menulis surat seperti diarah, kita diminta mematuhi kriteria, jadi kita tunggu MOM saja...daripada MSC kita sudah penuhi semua arahan dan keperluan,” katanya ketika majlis berbuka puasa bersama media di Kuala Lumpur pada Isnin.

Sebagai rekod, MSC sah sebagai ahli baharu ASTAF pada 5 Mac lalu sebelum turut diterima menjadi ahli gabungan ISTAF berkuat kuasa pada 4 April ekoran ASTAF menggugurkan keahlian PSM pada Mei 2021.

Suhaili berkata, MSC masih mampu menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa yang diiktiraf ASTAF dan ISTAF biarpun belum diterima MOM yang menyaksikan perkara itu membataskan kuasa mereka terhadap persiapan atlet ke Sukan SEA dan Sukan Asia.

Menurutnya, ketika ini MSC sedang memberikan tumpuan kepada persiapan acara sepak takraw Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 yang dianjurkan Majlis Sukan Negara (MSN) di sekitar Lembah Klang.

Artikel Berkaitan:

“Kita juga bercadang untuk menganjurkan pertandingan praSukma, setelah satu mesyuarat yang diadakan oleh PJS (Pesuruhjaya Sukan) dan MSN telah memberikan kita mandat untuk MSC mengendalikan Sukma dan juga MSL (Malaysia Sports League),” jelasnya. - Bernama