Lelaki maut terkena renjatan elektrik akibat penyambungan haram

Mangsa maut dipercayai akibat renjatan elektrik di Kampung Numbak, Manggatal, Kota Kinabalu.
Mangsa maut dipercayai akibat renjatan elektrik di Kampung Numbak, Manggatal, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Mangsa yang maut akibat renjatan elektrik di Kampung Numbak, Manggatal, di sini, dipercayai berpunca daripada penyambungan haram di lokasi kejadian.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa, Jeffri Kassim, 37, dikatakan memungut tin minuman dan besi buruk di kawasan berlumpur dan berair.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Abd Rakman berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu selepas menerima panggilan daripada bilik gerakan Kota Kinabalu.

"Sebaik tiba di lokasi, seorang lelaki terbaring di kawasan berlumpur dalam keadaan tidak sedarkan diri berhampiran jambatan kayu kecil.

"Anggota kita bertindak menghubungi agensi berkaitan termasuk Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) untuk membuat pemotongan elektrik di kawasan tersebut," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Katanya lagi, selepas selesai pemotongan elektrik dilakukan, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang berada di lokasi kejadian.

"Hasil siasatan awal mendapati, mangsa telah pergi ke kawasan berlumpur dan berair untuk memungut tin minuman dan besi buruk untuk dijual dan terkena renjatan elektrik akibat penyambungan haram.

"Siasatan di lokasi kejadian juga tidak menunjukkan berlakunya sebarang tanda unsur jenayah yang boleh dikaitkan dengan kematian mangsa. Mangsa diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Artikel Berkaitan:

George berkata, mayat mangsa kemudian dikeluarkan dari lokasi kejadian oleh pihak bomba dan dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I untuk tindakan lanjut.