Tiada kes Demam Babi Afrika di Selangor

Sebanyak 118 ladang babi berdaftar di Selangor. - Gambar hiasan.
Sebanyak 118 ladang babi berdaftar di Selangor. - Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Tiada pengesanan penyakit Demam Babi Afrika (ASF) dilaporkan di Selangor setakat ini.

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Ir Izham Hashim berkata, kerajaan negeri meningkatkan sistem biosekuriti di sempadan Selangor dengan Negeri Sembilan sebagai langkah pencegahan.

"Ia susulan pengesanan penyakit ASF di sebuah ladang haram di Site A, Port Dickson oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan (JPVNS) di negeri tersebut pada 8 April lalu.

"Setakat ini sebanyak 118 ladang babi berdaftar di Selangor," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Pada 9 April lalu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Sembilan, Datuk Bakri Sawir memberitahu, pengesanan penyakit itu diperoleh hasil pengesahan sampel ke atas dua ekor daripada 275 ekor babi di ladang tidak berlesen tersebut.

Bakri memberitahu, jangkitan itu berkemungkinan susulan kemasukan haiwan berkenaan dari Perak namun siasatan masih dijalankan.

Mengulas lanjut, Izham berkata, tiada sekatan ke atas kemasukan haiwan ternakan itu dari Perak ke Rawang bagi tujuan sembelihan.

"Ini kerana tiga ladang di Hilir Perak dan Batang Padang Perak yang terdapat kes ASF telah disita dan dilarang keluar dari premis untuk pelupusan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menasihatkan penternak agar memantau ternakan babi mereka dengan lebih rapi.

"Elakkan pergerakan keluar masuk dari tempat lain tanpa permit jabatan perkhidmatan veterinar supaya penyebaran penyakit ini dapat dikekang dan dihentikan.

"Jika ada sebarang isu atau suspek kes segera hubungi jabatan berkenaan," katanya.