Anwar kekal Presiden PKR

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya mengekalkan jawatannya sebagai Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pemilihan kali ini.

Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang turut memaklumkan bahawa Anwar memenangi jawatan tersebut tanpa bertanding.

“Mengulangi sejarah Pemilihan Keadilan 2018, Saudara Anwar sekali lagi menang tanpa bertanding pada pemilihan kali ini. Ini adalah penghormatan terbesar daripada akar umbi Keadilan.

“Saya dengan penuh takzim mengucapkan tahniah kepada Saudara Anwar Ibrahim,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Selasa.

Pada pemilihan bagi penggal 2022/2025 kali ini, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu akan berentap bersama dengan bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli bagi merebut jawatan Timbalan Presiden PKR.

Sementara itu, pencalonan bagi jawatan Naib Presiden yang memperuntukkan empat tempat pula menyaksikan persaingan 17 penjuru antaranya membabitkan Menteri Besar Selangor yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan PKR negeri, Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan PKR negeri, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Turut menawarkan diri merebut jawatan tersebut ialah penyandang Chang Lih Kang, Pengarah Komunikasi PKR yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, Ketua Wanita PKR yang juga Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh, Ketua Setiausaha Pengelola PKR yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, dan bekas Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Proses pengundian bagi pemilihan dalam talian pada pemilihan kali ini ialah dari 18 hingga 20 Mei, manakala secara fizikal pada 13 hingga 17 Mei.

Artikel Berkaitan: