Seorang maut, tiga cedera kereta dinaiki terbabas

Anggota bomba menjalankan kerja mengeluarkan mangsa yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Kampung Sungai Bumbun, Pulau Carey di sini pada pagi Isnin.
Anggota bomba menjalankan kerja mengeluarkan mangsa yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Kampung Sungai Bumbun, Pulau Carey di sini pada pagi Isnin.
A
A
A

KUALA LANGAT - Seorang lelaki maut manakala tiga rakannya cedera selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas di Jalan Kampung Sungai Bumbun, Pulau Carey di sini pada pagi Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.35 pagi, mangsa maut berusia 20 tahun merupakan penumpang di bahagian belakang kereta Hyundai tersebut.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor@Saleh berkata, kereta dinaiki kesemua mangsa dalam perjalanan dari Jalan Kampung Bumbun, Pulau Carey menghala ke Telok Panglima Garang.

"Setibanya di Jalan Kampung Sungai Bumbun, Pulau Carey, kereta dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar sebuah rumah kontena yang berada di kanan jalan. Tiga rakan mangsa mengalami cedera termasuk pemandu kereta.

"Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Banting untuk dibedah siasat," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Saksi bebas yang melihat kemalangan berlaku atau saksi yang mempunyai maklumat mengenai kejadian kemalangan ini boleh hubungi mana-mana balai polis berhampiran.

"Selain itu, orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diharap dapat menghubungi Pegawai Penyiasat Kes Inspektor Keisha Nur Azalea Betty Saran (Pegawai Penyiasat Trafik, Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat) di talian 011-62622972 atau 03-31872222," katanya.

Artikel Berkaitan: