JPVNS akan lupus 273 babi dijangkiti ASF

JPVNS akan melupuskan 273 ekor babi yang dijangkiti penyakit ASF di Kampung Baru Tanah Merah Site A, Rabu ini. - Gambar hiasan
JPVNS akan melupuskan 273 ekor babi yang dijangkiti penyakit ASF di Kampung Baru Tanah Merah Site A, Rabu ini. - Gambar hiasan
A
A
A

PORT DICKSON - Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan (JPVNS) akan melupuskan 273 ekor babi yang dijangkiti penyakit Demam Babi Afrika (ASF) di Kampung Baru Tanah Merah Site A, Rabu ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Bakri Sawir berkata, proses pelupusan haiwan tersebut dilakukan di lokasi sejauh enam kilometer dari ladang yang dijangkiti.

"Pelupusan haiwan itu menggunakan kaedah gas karbon dioksida berasaskan garis panduan Kod Amalan Kebajikan Haiwan-Pengurusan Pelupusan Haiwan, sebelum ditanam secara sempurna

"Proses pelupusan ini mengambil masa kira-kira lima hingga 10 minit dan bangkai haiwan tersebut akan ditanam dengan kedalaman sehingga 12 meter,” katanya kepada pemberita.

Katanya, antara agensi terlibat dalam proses pelupusan adalah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp); Jabatan Kerja Raya (JKR); Kementerian Kesihatan (KKM); Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan anggota Jabatan Sukarelawan (RELA).

Dalam pada itu, Pengarah JPVNS Dr Redzuan Ibrahim berkata, terdapat 19 ladang di kawasan terbabit menjalankan penternakan tanpa lesen yang melibatkan anggaran 2,000 ekor babi dan kadar kebolehjangkitan ASF terhadap haiwan tersebut sangat tinggi.

Katanya, penternak diminta segera melaporkan kepada JPVNS sekiranya ternakan mereka menunjukkan tanda jangkitan. - Bernama

Artikel Berkaitan: