Setuju RUU Anti Lompat Parti diperluas kepada ADUN, Senator

Saifuddin (kiri) dan Bung Moktar
Saifuddin (kiri) dan Bung Moktar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang sependapat agar pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti turut diperluas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Senator sekiranya akta itu diluluskan di Dewan Rakyat nanti.

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH-Kulim Bandar Baharu) berkata, Pakatan Harapan (PH) sedia untuk memberikan komitmen untuk mewujudkan undang-undang itu di peringkat negeri sebagai usaha untuk menyekat perbuatan lompat parti membabitkan wakil rakyat.

“Pendirian kita tidak berubah, kita kekal menyokong usaha untuk mewujudkan undang-undang ini. Komitmen kami kepada rakyat adalah kita akan berusaha untuk mewujudkan undang-undang di peringkat sejurus selepas kelulusan diperoleh di peringkat Parlimen.

“Mewakili PH yang agak parah yang terpukul susulan ada ahli Parlimen yang lompat, begitu juga rakan-rakan di UMNO. Inilah masalahnya untuk kita memulakan langkah ini dan meneruskan sehingga berjaya,” katanya ketika membahasakan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 pada Mesyuarat Khas Penggal Kelima Majlis Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.

Pandangan sama turut disuarakan Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) bagi memastikan usaha untuk menangani tindakan ahli politik yang melompat.

Ini kerana katanya, ketegasan ke arah mengekang tindakan lompat parti amat penting kerana ia mempunyai kaitan dengan mandat rakyat serta integriti seorang pemimpin.

“Aktiviti lompat parti ini khianat (mandat rakyat), tidak bermaruah, tidak berintegriti walau apa sahaja alasan sekalipun sama ada sukarela, dipaksa atau wujud penipuan tetapi mereka tetap melompat demi kepentingan diri mereka sendiri untuk dapat jawatan, kuasa dan sebagainya.

“Saya harap bulan Mei ini dan saya pun setuju dengan rakan-rakan di sana (pembangkang) kita selesaikan isu ini baru kita adakan pilihan raya kerana rakyat menunggu apa yang kita (ahli Parlimen buat).

Artikel Berkaitan:

“Saya juga berharap Jawatankuasa Pilihan Khas ini memutuskan yang terbaik dan saya menawarkan diri untuk masuk jawatankuasa itu,” katanya.