Pembantu tukang masak dituduh cuba bunuh polis

Gambar hiasan - Foto 123rf
Gambar hiasan - Foto 123rf
A
A
A

GEORGETOWN - Seorang pembantu tukang masak pada Isnin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen sini, atas pertuduhan cubaan membunuh sehingga menyebabkan kecederaan terhadap seorang anggota polis di satu sekatan jalan raya di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, 3 April lepas.

Muhammad Luqman Hakim Mohd Shukri, 27, pembantu tukang masak di Hospital Pulau Pinang, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mazdi Abdul Hamid.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Luqman Hakim didakwa dengan niat telah melakukan perbuatan cubaan membunuh sehingga menyebabkan kecederaan kepada Lans Koperal S K Acharaa, di susur keluar lorong motosikal di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu pada 1.05 pagi, 3 April lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Rais Imran Hamid tidak menawarkan jaminan kepada Muhammad Luqman Hakim, memandangkan kesalahan itu tidak boleh dijamin.

Beliau turut memohon mahkamah, mengenakan syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu mangsa, memandangkan mangsa kini sedang menerima rawatan di hospital tempat tertuduh bekerja.

Namun, Mazdi membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan supaya tertuduh melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan, serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mahkamah turut membenarkan syarat tambahan supaya tertuduh atau sesiapa sekalipun yang dikaitkan dengan tertuduh dalam apa-apa cara sekalipun, daripada mengganggu mangsa kes tersebut.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah turut mengarahkan tertuduh melantik peguam dan menetapkan 20 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula.

Dalam kejadian pada 3 April lalu, Lans Koperal Acharaa, 32, dilaporkan mengalami kecederaan pada bahagian muka selepas dirempuh sebuah motosikal jenis Yamaha 125Z, yang dipandu seorang lelaki ketika sedang bertugas di sekatan jalan raya di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu. - Bernama