LIMA'19: MyCar penyedia pengangkutan awam rasmi

LIMA'19
LIMA'19
A
A
A

LANGKAWI - MyCar, perkhidmatan e-hailing kedua terbesar di Malaysia, dilantik sebagai penyedia pengangkutan awam rasmi sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2019 (LIMA‘19) yang akan berlangsung pada 26 sehingga 30 Mac ini.

Pengasas MyCar, Mohd Noah Maideen berkata, sebagai rakan pengangkutan awam rasmi, kira-kira 1,200 pemandu perkhidmatan e-hailing itu bersiap sedia untuk memastikan pergerakan pengunjung sepanjang LIMA'19 menjadi lebih efektif.

Katanya, bagi tujuan itu, MyCar juga menjalin kerjasama dengan pemandu teksi di Langkawi bagi memastikan segala permintaan perkhidmatan pengangkutan daripada pengunjung berjalan lancar.

"Pengguna boleh membuat tempahan awal dan tempahan untuk pihak ketiga menggunakan aplikasi MyCar. Kita juga memberikan harga paling rendah berbanding perkhidmatan e-hailing lain sepanjang LIMA'19 nanti.

“Pengguna MyCar bakal menikmati diskaun menerusi penggunaan promokod MYCARBEST akan diberikan kepada 1,000 orang setiap hari sepanjang tempoh berkenaan," katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran MyCar sebagai penyedia pengangkutan awam rasmi LIMA'19 di sini hari ini.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Timbalan Speaker DUN Kedah merangkap ADUN Ayer Hangat, Juhari Bulat.

Mengulas lanjut, Mohd Noah berkata, selain memberi perkhidmatan terbaik kepada pengguna dengan harga rendah, MyCar juga memberi insentif menarik kepada pemandu.

"MyCar memberi 'pick up bonus' sebanyak RM4 dan 'drop off bonus' sebanyak RM3 kepada pemandu, oleh itu selain menjana pendapatan menerusi tambang dibayar pengguna, mereka juga mendapat pendapatan lebih diberi oleh perkhidmatan e-hailing ini," katanya.- Bernama

Artikel Berkaitan: