Kuih cecemek warisan Perak

Kuih cecemek yang siap dibulatkan dimasukkan dalam bekas daun pisang untuk diletakkan gula dan santan.
Kuih cecemek yang siap dibulatkan dimasukkan dalam bekas daun pisang untuk diletakkan gula dan santan.
A
A
A

IPOH - Individu yang tinggal di luar Perak pastinya terasa janggal apabila mendengar nama kuih cecemek yang menjadi warisan rakyat Perak sejak dahulu lagi.

Kuih cecemek ini amat sinonim dalam kalangan penduduk di daerah Perak Tengah terutama di Pasir Salak dan Kampung Gajah dan menjadi antara menu wajib sebagai pemanis mulut dalam bulan Ramadan.

Meskipun bentuknya seakan sama seperti kuih sampan atau kuih limas, namun rasanya mempunyai kelainan tersendiri kerana diadun menggunakan bahan yang berbeza.

Pembuat kuih cecemek, Hashimah Yon Abdul Talib, 58, berkata, cecemek berbeza dengan kuih sampan kerana penyediaannya yang menggunakan adunan tepung pulut.

Menurutnya, tepung pulut itu diadun bersama santan cair lalu doh yang siap dibulatkan kecil-kecil dengan membuat lubang di tengah.

Hashimah Yon
Hashimah Yon

"Kuih yang siap dibulatkan itu kita letakkan dalam bekas yang diperbuat daripada daun pisang.

"Kemudian diletakkan juga sedikit gula serta santan pekat sebelum dikukus antara 15 ke 20 minit sehingga masak," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kuih cecemek agak sukar diperolehi di kedai-kedai kuih kerana tidak ramai yang membuatnya untuk tujuan jualan.

Katanya, atas faktor itu, kuih berkenaan selalu mendapat permintaan tinggi dan cepat habis terutama di bazar-bazar Ramadan.

"Biasanya satu bekas plastik boleh memuatkan lima kuih cecemek dan dijual sekitar RM3.

"Kalau hari biasa, saya letak di kedai kuih sekitar 50 ke 100 bekas sahaja, tetapi untuk Ramadan kena buat dua kali ganda sampai 200 pek.

"Itu pun masih belum mencukupi dan ada sahaja permintaan supaya buat lebih," katanya.

Lima kuih cecemek yang dimuatkan dalam satu bekas plastik boleh dijual pada harga RM3.
Lima kuih cecemek yang dimuatkan dalam satu bekas plastik boleh dijual pada harga RM3.

Dia yang mengusahakan kuih cecemek secara sendiri di kediamannya di Kampung Pasir Salak, Kampung Gajah sejak 15 tahun lalu mempelajari pembuatan kuih tradisi itu daripada arwah ibunya.

Seni pembuatan kuih itu kemudiannya diwarisi anak perempuan keduanya berusia 31 tahun bekerja di Kuala Lumpur dan turut mengambil tempahan kuih daripada pelanggan di situ.

"Walaupun cecemek ini kuih lama, orang ramai tetap suka dan cari, lagi-lagi bulan Ramadan, tambahan pula sekarang orang muda pun suka makan," katanya.