Polis buru lelaki dera anak kekasih

Seorang lelaki yang dicari polis untuk siasatan kes dera anak teman wanitanya di PPR Desa Rejang, Kuala Lumpur.
Seorang lelaki yang dicari polis untuk siasatan kes dera anak teman wanitanya di PPR Desa Rejang, Kuala Lumpur.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki yang dipercayai mendera anak kekasihnya yang berusia setahun 11 bulan giat diburu polis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Deputi Superintenden D Saralathan berkata, panggilan mengenai kes yang berlaku di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang, Setapak itu diterima Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju kira-kira jam 5.05 petang, Rabu.

Menurutnya, tindakan lelaki itu mengakibatkan kanak-kanak perempuan itu mengalami bengkak di bibir, lebam mata kiri dan kanan serta bahagian belakang badan.

"Mangsa kini sedang dirawat di Hospital Kuala Lumpur untuk pemantauan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa sering dipukul atas alasan membuat bising.

Katanya, namun ketika kejadian, lelaki terbabit melampaui batas dan ibu mangsa cuba menghalang namun tidak berdaya sebelum lelaki terbabit terus melarikan diri.

"Pihak polis masih mempergiatkan usaha bagi mengesan lelaki terbabit untuk siasatan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001," ujarnya.

Tambahnya, Polis Kuala Lumpur menyeru orang ramai supaya mengambil tahu perkara yang menyalahi undang-undang yang berlaku di sekeliling mereka dan melaporkan segera kepada polis untuk tindakan yang cepat dan berkesan.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes ini boleh menghubungi IPD Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran," ujarnya.