18 pemandu mabuk ditahan

JSPT Kuala Lumpur giat melaksanakan operasi di sekitar ibu kota sejak Jumaat hingga Ahad.
JSPT Kuala Lumpur giat melaksanakan operasi di sekitar ibu kota sejak Jumaat hingga Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menahan 18 lelaki kerana dipercayai memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol dalam operasi dijalankan di sekitar ibu kota sejak Jumaat hingga Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, kesemua lelaki berusia 19 hingga 51 tahun itu ditahan mengikut Seksyen 45 (A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan dibawa ke Balai Polis Trafik, Kuala Lumpur.

Menurutnya, seramai 23 pegawai dan 152 anggota JSPT Kuala Lumpur menjalankan operasi di di sekitar pusat bandar, Jalan Pahang, Jalan Tun Razak, Jalan Kuching, Jalan Raja Laut, Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) dan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (Duke).

"Polis turut menahan 10 individu termasuk seorang wanita berusia 16 hingga 24 tahun kerana melakukan aksi berbahaya seperti zig zag, roket, superman serta bersaing.

"Mereka juga telah dibawa ke Balai Polis Trafik, Kuala Lumpur dan akan dituduh di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Sarifudin berkata, polis juga menyita 27 kereta yang membuat bising dan mengganggu ketenteraman awam di Jalan Raja Laut.

"Kesemua kereta itu disita mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan mengubah suai struktur kenderaan," katanya.

Antara kereta yang disita dibawa ke Pejabat JSPT Kuala Lumpur.
Antara kereta yang disita dibawa ke Pejabat JSPT Kuala Lumpur.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, secara keseluruhan sebanyak 805 jumlah saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

"Sebanyak 36 buah motosikal telah disita atas kesalahan mengubah suai struktur kenderaan (ekzos).

"Jabatan Pengangkutan Jalan dan Jabatan Alam Sekitar akan mengambil tindakan dan pemeriksaan terhadap kesemua kenderaan yang disita," katanya.

Sarifudin berkata, polis turut menahan dua lelaki berusia 16 dan 24 tahun kerana melakukan kesalahan memalsukan nombor pendaftaran kenderaan.

"Mereka akan dituduh di bawah Seksyen 108(3)(e) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Katanya, polis akan terus mempertingkatkan operasi di hujung minggu bagi mencegah dan membanteras sepenuhnya aktiviti samseng jalanan serta menjaga keselamatan pengguna jalan raya.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H S Lee di talian 03-20719999 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana- mana balai polis berhampiran," katanya.