Dua penyelam dikhuatiri hilang ditemui selamat

Dua penyelam tempatan yang dikhuatiri hilang ditemui selamat di Pulau Jarak. - Foto: Maritim Perak
Dua penyelam tempatan yang dikhuatiri hilang ditemui selamat di Pulau Jarak. - Foto: Maritim Perak
A
A
A

LUMUT - Dua penyelam tempatan yang dikhuatiri hilang di kedudukan 0.4 batu nautika timur Pulau Jarak ditemui selamat di sini pada Sabtu.

Kedua-dua mangsa berusia 34 dan 36 tahun itu ditemui sekitar jam 7.40 malam dalam keadaan berpaut pada jeti Pulau Jarak bagi menyelamatkan diri.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, maklumat kejadian itu diterima dari Balai Polis Pulau Pangkor mengatakan terdapat dua lelaki hilang ketika melakukan aktiviti menyelam.

Menurutnya, mangsa bersama tiga rakan penyelam lain dilaporkan telah menaiki bot sewaan ke kawasan Pulau Jarak bagi menjalankan aktiviti selaman.

"Kejadian disedari sekitar jam 7.04 malam apabila kedua-dua mangsa tidak kelihatan di permukaan.

"Pengendali bot telah berusaha mencari mangsa selama satu jam di kawasan tersebut, namun masih tidak menemui sebarang petunjuk sehingga laporan dibuat," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Beliau berkata, mangsa yang ditemui kemudiannya dipindahkan ke Pulau Jarak bagi tujuan pemantauan tahap kesihatan oleh anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati mangsa yang berasal dari Kampung Acheh di sini berada keadaan selamat dan stabil.

Artikel Berkaitan:

"Kedua-dua mangsa akan didaratkan di Lumut dengan bantuan aset TLDM serta dua anggota Maritim pada hari ini (Ahad).

"Maritim mengucapkan terima kasih atas kerjasama serta bantuan aset yang diberikan oleh semua pasukan terutama TLDM serta komuniti nelayan sepanjang usaha dalam menyelamatkan mangsa," katanya.