Perak FC mahu serah pemilikan tanpa ‘proof of funds’

Perak FC
Perak FC
A
A
A

PERAK FC tetap mahu meneruskan serahan kelab itu kepada pemilik baharu biarpun tanpa dana (proof of funds) dan berkemungkinan ditolak pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Pengerusi Lembaga Pengarah Perak FC, Khairul Nizam Mahmood berkata, proses transaksi pembelian ketika ini akan memberikan kebaikan kepada Impact Media & Communication (IMC) Sdn Bhd selaku pemilik sedia ada.

“Selepas penilaian yang terperinci, pengurusan berpendapat bahawa transaksi ini memberikan hasil yang menarik untuk IMC dengan peruntukan tunai pada nilai yang munasabah selain menyokong komitmen Perak FC kepada pemiutang dan pemegang saham.

“Kami akan teruskan walaupun tanpa ‘proof of funds’ dan kemungkinan timbulnya bantahan daripada MFL berikutan tekanan yang meningkat daripada peminat-peminat dan bekas-bekas pemain yang dilihat sangat yakin dan merasa terjamin dengan kekukuhan kewangan dan kesanggupan pihak bakal pembeli itu,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau memberitahu, IMC akan menyertai perbincangan lanjut bagi pengambilalihan muktamad pada Isnin ini dengan sebuah syarikat berkeperluan khas (SPV) yang diwakili anak guam mereka yang berpangkalan di Ipoh.

Menurutnya, tawaran bagi nilai RM1 sesaham untuk Perak FC Sdn Bhd termasuk semua liabiliti adalah serupa dengan tawaran yang dibuat sebelum ini.

“IMC telah menerima tawaran pengambilalihan susulan tertakluk kepada perbincangan lanjut yang dijadualkan berlangsung di Ipoh pada 11 April ini.

“Perjanjian bagi perbincangan yang akan berlaku itu adalah satu perubahan mendadak daripada minggu-minggu sebelumnya, semasa syarikat menuntut ‘proof of funds’ sebagai syarat awal untuk meneruskan proses pengambilalihan itu," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, beliau berkata, perjanjian kekal tertakluk kepada perbincangan pada Isnin ini yang mana ia dijangka akan termeterai sebelum 14 April iaitu tarikh akhir sebelum pemotongan sebanyak enam mata dilaksanakan MFL.