Lelaki warga emas antara empat pemandu mabuk ditahan

Sepasukan anggota polis melaksanakan SJR di LDP Kelana Jaya di sini pada Ahad.
Sepasukan anggota polis melaksanakan SJR di LDP Kelana Jaya di sini pada Ahad.
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang lelaki warga emas antara empat individu yang ditahan selepas didapati memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Operasi Bersepadu Khas dijalankan di sekitar daerah ini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, kesemua lelaki berusia 58 hingga 63 tahun itu ditahan mengikut Seksyen 45 (A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Kesemua individu itu ditahan kerana memandu dengan tahap alkohol melebihi paras yang dibenarkan," katanya ketika ditemui dalam sekatan jalan raya (SJR) Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) Kelana Jaya di sini pada Sabtu.

Mohamad Fakhrudin berkata, selain SJR di LDP Kelana Jaya, pihaknya turut mengadakan lima lagi SJR secara serentak di lorong motosikal PJS 2, Jalan SS2/55 Sea Park, Sungai Way, Persiaran Surian Damansara dan Jalan PJU 10/1 serta susur masuk Damansara Damai.

"Seramai 150 anggota dan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah dan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Petaling Jaya terlibat dalam operasi ini," katanya.

Beliau berkata, pihaknya memeriksa 750 kenderaan dan sebanyak 240 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

"Kita memfokuskan kepada pencegahan jenayah dengan melaksanakan pemeriksaan ke atas kenderaan.

"Selain itu, seramai 119 orang turut diperiksa bagi mengesan individu yang dikehendaki dan barangan terlarang yang dibawa di dalam kenderaan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Mohamad Fakhrudin berkata, pihaknya turut mengesan suspek yang terlibat dalam kes curi kenderaan serta kenderaan yang dilaporkan hilang.

"Kita merekodkan sebanyak 98 kes curi kenderaan sejak Januari hingga Mac lalu, daripada jumlah itu kecurian motosikal mencatatkan jumlah tertinggi sebanyak 74 kes," ujarnya.

Beliau berkata, pihaknya berjaya menahan 16 individu disyaki terbabit kegiatan jenayah, termasuk seorang penjenayah dikehendaki berkaitan kes curi serta seorang suspek kes curi motosikal.

"Bagi operasi di Sungai Buloh, anggota Bahagian Risikan/Operasi/Rekod (D4) Bahagian Siasatan Jenayah berjaya menumpaskan sebuah kumpulan disyaki dalang jenayah curi kenderaan.

"Tangkapan membabitkan lapan warga tempatan, termasuk seorang wanita, serta seorang lelaki warga Bangladesh," katanya.

Mohamad Fakhrudin berkata, pihaknya juga menahan tiga suspek disyaki dalang kes pecah cermin kereta membabitkan seorang lelaki warga Indonesia, hasil tangkapan di Kota Damansara.

"Dalam tangkapan berasingan, seorang lelaki tempatan bersama seorang wanita warga Vietnam ditahan berkait kes sama.

"Selain itu, seorang lelaki turut ditahan di Damansara bersama 20 biji pil dadah jenis erimin 5," katanya.