Pencarian penyelam warga Belanda ditamatkan, Indonesia sambung operasi

Cyril Edward ketika sidang akhbar Op Carilamat bagi mengesan seorang lagi penyelam warga asing di Pangkalan Hadapan Carilamat Jeti Awam Majlis Daerah Mersing pada Sabtu. - Foto Bernama
Cyril Edward ketika sidang akhbar Op Carilamat bagi mengesan seorang lagi penyelam warga asing di Pangkalan Hadapan Carilamat Jeti Awam Majlis Daerah Mersing pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

MERSING -[DIKEMAS KINI]Operasi mencari dan menyelamat (Op Carilamat) bagi mengesan seorang lagi penyelam remaja warga Belanda yang hilang di perairan Pulau Tokong Sanggol, dekat sini, Rabu lepas, ditamatkan pada jam 1.30 tengah hari Sabtu.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing berkata, ia berikutan hasil maklumat dan siasatan mendapati kedua-dua penyelam warga Britain dan Perancis yang terselamat ditemui di kedudukan 16 batu nautika dari utara Pulau Bintan, Indonesia.

Beliau berkata, kedudukan kedua-dua penyelam itu ditemui adalah kira-kira 70 batu nautika atau 100 kilometer daripada lokasi terakhir mereka dilaporkan hilang.

"Daripada maklumat ini, kami berpendapat usaha pencarian (kini) di kawasan (perairan) Indonesia dan operasi dihentikan sementara di perairan Malaysia.

"Rakan setugas kita di Indonesia telah maklum dan mereka akan sambung (operasi) cari di perairan Indonesia. Bagaimanapun aset-aset kita di laut sentiasa berada dalam keadaan siap siaga,” katanya ketika sidang akhbar di Pangkalan Hadapan Carilamat Jeti Awam Majlis Daerah Mersing di sini pada Sabtu.

Cyril Edward berkata, remaja berkenaan, Nathen Renze Chesters, 14, berkemungkinan besar tidak berada di perairan Malaysia berdasarkan arus dan lokasi dua penyelam yang ditemui awal pagi Sabtu.

"Buat masa ini, kita tidak dapat memastikan secara rasmi keadaan Nathen Renze, namun kita meletakkannya sebagai masih hidup berikutan tidak nampak mayatnya dan diklasifikasikan sebagai orang hilang,” katanya.

Beliau berkata, jurulatih selam warga Norway, Kristine Grodem, 35, yang ditemukan selamat Khamis lepas juga berada dalam keadaan stabil, namun masih belum bersedia untuk memberi keterangan.

Artikel Berkaitan:

"Begitu juga keadaan dua penyelam (Adrian Peter Chesters, 46, dan Alexia Alexandra Molina, 18) berada dalam keadaan stabil dan bersemangat,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Zon Maritim Mersing Komander Maritim, Khairul Nizam Misran berkata, meskipun Op Carilamat tersebut ditamatkan, aset daripada pelbagai agensi yang berada di perairan negara sentiasa berada dalam keadaan siap siaga dan bersedia untuk membantu pihak berkuasa Indonesia sekiranya diperlukan.

Adrian Peter dan Alexia Alexandra Molina dijumpai selamat kira-kira jam 1 pagi Sabtu.

Grodem pula ditemukan selamat dalam keadaan terapung, dilengkapi pakaian dan peralatan menyelam oleh sebuah bot tunda yang dalam perjalanan dari Indonesia ke Thailand pada jam 8.15 pagi, Khamis lepas.

Dalam kejadian pada tengah hari Rabu lepas (6 April), empat penyelam warga asing dilaporkan hilang ketika menyelam di perairan Pulau Tokong Sanggol, kira-kira sembilan batu nautika dari Tanjung Leman di sini. - Bernama