Lotus’s Malaysia berkongsi rezeki, agih hidangan berbuka

A
A
A

Siuew Luan (kanan) dan sukarelawan Food Aid Foundation serta kakitangan Lotus’s mengisi makanan ke dalam kotak sebelum diagihkan.
Siuew Luan (kanan) dan sukarelawan Food Aid Foundation serta kakitangan Lotus’s mengisi makanan ke dalam kotak sebelum diagihkan.

KOTA BHARU - Lotuss Stores (Malaysia) Sdn Bhd (Lotus’s Malaysia) yang sinonim sebagai sebuah syarikat prihatin terhadap nasib golongan kurang berkemampuan kembali turun padang merancakkan tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi #KitakanJiran di negeri ini.

Pengurus Besar Lotus’s Malaysia cawangan Kota Bharu, Koh Siuew Luan berkata, inisiatif #KitakanJiran kali ini adalah usaha sama yang dijalankan bersama Food Aid Foundation untuk agihan 2,000 kotak hidangan berbuka puasa bermula sebanyak 500 kotak yang diagihkan di lima kampung di sekitar pasar raya Lotus’s Kota Bharu.

SIUEW LUAN
SIUEW LUAN

“Kami di Lotus’s didorong oleh semangat #KitakanJiran untuk berkongsi keceriaan bersama seluruh rakyat sempena bulan Ramadan yang mulia dan penuh berkat ini.

“Lotus’s ingin menzahirkan ihsan dalam bentuk barangan dan makanan kepada golongan yang memerlukan seperti B40, ibu tunggal, yatim piatu dan orang kelainan upaya (OKU),” katanya ketika ditemui di pasar raya Lotus’s Kota Bharu di Lembah Sireh di sini, pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

KEAN SOON
KEAN SOON

Hadir sama, Pengurus Operasi Food Aid Foundation, Neoh Kean Soon yang turut menjadi cef memasak hidangan nasi jagung, ayam stu dan sayur brokoli bersama 40 sukarelawan yayasan itu serta kakitangan Lotus’s Malaysia.

Siuew Luan berkata, pelbagai pengisian program dijalankan menerusi #KitakanJiran bermula pada Julai tahun lalu dengan agihan kotak prihatin dan keperluan asas bernilai RM50 serta RM100 kepada golongan sasar semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selain bantuan kepada mangsa banjir di Rantau Panjang, Kelantan.

Menurutnya, sepanjang Ramadan, kotak makanan sedia dimakan ini akan diagihkan di tiga lagi negeri iaitu masingmasing 500 kotak di Pulau Pinang, Selangor dan Johor Bharu.

Siuew Luan menyemarakkan #KitakanJiran menerusi juadah berbuka puasa kepada golongan B40, yatim piatu, ibu tunggal dan OKU.
Siuew Luan menyemarakkan #KitakanJiran menerusi juadah berbuka puasa kepada golongan B40, yatim piatu, ibu tunggal dan OKU.

Katanya, menerusi #KitakanJiran, Lotus’s Malaysia juga mengumpul lebihan makanan yang selamat dan masih boleh dimakan setiap hari di bawah program Food Surplus Lotus’s untuk diberikan kepada golongan memerlukan.

“64 cawangan Lotus’s Malaysia di seluruh negara masing-masing dilengkapi dengan tong amal makanan yang membolehkan orang ramai untuk turut serta menyumbang barangan keperluan asas kepada penerima terpilih sepanjang bulan Ramadan bagi menyerikan sambutan hari raya yang bakal tiba.

“Lotus’s juga mempunyai program sekolah angkat di mana pelajar-pelajarnya terdiri daripada anak-anak keluarga B40 dan Lotus’s membantu sekolah-sekolah tersebut dari segi keperluan pendidikan dan penyediaan program-program motivasi kepada pelajar serta bantuan peralatan persekolahan,” jelasnya.

Prihatin

Ketua Komunikasi dan CSR Lotus's Malaysia, Hanim Hamdan bersama Siuew Luan menyerahkan bungkusan makanan kepada penerima.
Ketua Komunikasi dan CSR Lotus's Malaysia, Hanim Hamdan bersama Siuew Luan menyerahkan bungkusan makanan kepada penerima.

Menurutnya, Lotus’s Malaysia turut prihatin dalam membantu memenuhi keperluan dan kelengkapan di Masjid Wakaf Tok Kassim, Kampung Tok Kassim, Tebing Tinggi, Kota Bharu melalui pemberian sejadah, surah Yasin, menukar karpet dan memperbaiki kerosakan di rumah ibadat itu.

“Kami di Lotus’s Malaysia amat teruja dapat kembali turun padang selepas dua tahun pandemik Covid-19 untuk menyambung kolaborasi dengan pelbagai pihak dalam usaha menolong golongan yang memerlukan terutama semasa fasa endemik ini,” katanya.

Sementara itu, Kean Soon berkata, beliau mengambil masa selama sejam untuk memasak hidangan dengan menggunakan 80 kilogram ayam dan 50 kilogram brokoli sebagai juadah berbuka puasa.

“Saya bersyukur dalam keadaan harga barang meningkat, kami masih dapat membantu orang lain melalui pengagihan makanan yang berkhasiat.

“Penting bagi seorang cef mengutamakan diet yang baik iaitu makanan yang sihat terutama daripada sumber tumbuhan bagi setiap orang tanpa mengira tahap kemampuan,” katanya.

Siuew Luan (kiri), Ketua Komunikasi dan CSR Lotus’s Malaysia, Hanim Hamdan (tengah) dan Kean Soon menunjukkan bungkusan makanan yang telah siap untuk diagihkan kepada penerima.
Siuew Luan (kiri), Ketua Komunikasi dan CSR Lotus’s Malaysia, Hanim Hamdan (tengah) dan Kean Soon menunjukkan bungkusan makanan yang telah siap untuk diagihkan kepada penerima.

Sepanjang bulan Ramadan ini, Lotus’s Malaysia turut bekerjasama dengan HotFM untuk mengagihkan pelbagai barangan Lotus’s di 23 lokasi terpilih di sekitar Lembah Klang, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Perak, Penang dan Kedah di bawah program 30 Ramadan, Ceria Untuk Komuniti Sebab #KitakanJiran, Baru Berseri Rasanya.