10 lagi ahli Geng Amy Sandora diberkas

Ahmad Ridhwan (tengah) menunjukkan barang-barang yang berjaya ditemui semula dalam serbuan berkenaan.
Ahmad Ridhwan (tengah) menunjukkan barang-barang yang berjaya ditemui semula dalam serbuan berkenaan.
A
A
A

KUALA LANGAT - Seramai 10 lelaki dipercayai ahli kumpulan pecah rumah Geng Amy Sandora ditahan pada Jumaat kerana disyaki terlibat dalam kejadian pecah stor simpanan peralatan katering di Kampung Sijangkang, Telok Panglima Garang di sini 1 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor@Saleh berkata, polis menerima laporan daripada seorang guru berusia 24 tahun mendakwa stor berkenaan dipecah masuk oleh beberapa individu tidak dikenali.

Menurutnya, dalam serbuan pertama, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat menahan lapan lelaki tempatan yang sedang leka menghisap dadah di sekitar Sijangkang, Telok Panglima Garang di sini

"Hasil soal siasat terhadap beberapa suspek yang ditangkap, serbuan kedua telah dibuat pada jam 3.10 pagi, Khamis dan polis berjaya memberkas rakan sejenayah iaitu dua lelaki tempatan di sekitar lokasi sama," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, antara perkakasan yang dicuri termasuk enam unit dulang bulat, dua tong gas, cawan dan pinggan (800), set dome (dua), tong nasi (dua), bateri lori (dua), set kamera litar tertutup (CCTV) (satu) dan empat buah bekas air.

Mengulas lanjut, Ahmad Ridhwan berkata, pihak polis berjaya menemui semula barang-barang milik mangsa yang dilaporkan hilang pada hari kejadian.

Katanya, lapan daripada 10 suspek yang berusia dalam lingkungan 27 hingga 38 tahun mempunyai rekod lampau membabitkan kes narkotik, jenayah pecah rumah dan curi motosikal.

"Ahli kumpulan ini juga pernah ditangkap atas kesalahan yang sama pada tahun 2021.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat di bawah seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun," katanya.