Cubaan seludup keluar 3.1 tan daun ketum gagal

Anggota Maritim Malaysia menunjukkan daun ketum yang cuba diseludup keluar yang dirampas di kedudukan 0.2 batu nautika muara Kuala Sala, Kuala Kedah pada Khamis.
Anggota Maritim Malaysia menunjukkan daun ketum yang cuba diseludup keluar yang dirampas di kedudukan 0.2 batu nautika muara Kuala Sala, Kuala Kedah pada Khamis.
A
A
A

KUALA KEDAH - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah menggagalkan cubaan menyeludup keluar daun ketum seberat 3.1 tan oleh sebuah bot nelayan tempatan kelas A di kedudukan 0.2 batu nautika muara Kuala Sala di sini pada Khamis.

Pengarah Zon Maritim Malaysia Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, rampasan kira-lebih jam 6.45 pagi itu dibuat hasil maklumat risikan yang mengesan aktiviti pemunggahan bungkusan hitam yang mencurigakan sedang berlaku di muara Kuala Sala.

Katanya, bot PERKASA 1226 yang sedang melakukan rondaan rutin Op Aman telah digerakkan ke lokasi dan menemui sebuah bot nelayan tempatan Kelas A bersama empat suspek sedang memunggah bungkusan hitam terbabit di atas bot berkenaan.

"Menyedari kehadiran pihak berkuasa, kesemua suspek dipercayai warga tempatan bertindak melarikan diri ke kawasan paya bakau berhampiran.

"Hasil pemeriksaan ke atas bot yang ditinggalkan menemui 310 bungkusan plastik hitam disyaki mengandungi daun ketum yang disorokkan di bahagian tempat simpanan ikan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Bungkusan plastik hitam disyaki mengandungi daun ketum ditemui disorokkan di tempat simpanan ikan sebuah bot nelayan kelas A di kedudukan 0.2 batu nautika muara Kuala Sala, Kuala Kedah pada Khamis.
Bungkusan plastik hitam disyaki mengandungi daun ketum ditemui disorokkan di tempat simpanan ikan sebuah bot nelayan kelas A di kedudukan 0.2 batu nautika muara Kuala Sala, Kuala Kedah pada Khamis.

Katanya, kesemua bungkusan plastik hitam berisi daun ketum itu dianggarkan bernilai RM558,000 dirampas bersama bot nelayan tempatan kelas A yang dianggarkan bernilai RM60,000.

Beliau memaklumkan barang rampasan dibawa masuk ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Tambah Noor Azreyanti, modus operandi aktiviti penyeludupan kali ini berbeza iaitu dengan menggunakan bot nelayan tempatan berdaftar berbanding menggunakan bot fiber tanpa nombor pendaftaran bagi mengaburi pihak berkuasa sebelum ini.

Menurutnya, bot terbabit juga disyaki sedang menunggu masa yang sesuai untuk keluar ke sempadan negara.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan itu, yang mana jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Dalam masa sama, Maritim Malaysia Zon Kuala Kedah mengalu-alukan aduan awam mengenai sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut dan boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Kuala Kedah di talian 04-7310579.