Ayam 'engkong' juadah istimewa Ramadan

Kamal Ibrahim (kanan) dan isterinya, Hamilah (kiri) menunjukkan ayam 'engkong' yang menu hidangan istimewa masyarakat Jawa.
Kamal Ibrahim (kanan) dan isterinya, Hamilah (kiri) menunjukkan ayam 'engkong' yang menu hidangan istimewa masyarakat Jawa.
A
A
A

PONTIAN - Menu ayam 'engkong' mungkin kendengaran asing bagi segelintir orang namun hidangan itu cukup popular dalam kalangan masyarakat Jawa yang dinikmati bersama nasi ambeng.

Menggunakan ayam kampung, juadah itu dimasak dengan campuran 20 bahan masakan menjadikan ia cukup lazat dan menyelerakan.

Cara memasak ayam 'engkong' memerlukan ketelitian dan kemahiran menyebabkan hidangan ini cukup istimewa apabila disajikan pada majlis keraian, kenduri dan berbuka puasa.

Pengusaha ayam 'engkong', Kamal Ibrahim Wardi, 54, berkata 'engkong' membawa maksud satu kepada muafakat.

Menurutnya, seekor ayam akan dimasak bersama adunan bahan masakan seperti ketumbar, jintan halus, jintan kasar, serai, halia, kunyit dan lengkuas.

Jelasnya, hanya ayam kampung dan ayam tua boleh digunakan untuk menghasilkan juadah itu kerana perlu melalui proses rebusan yang agak lama.

Hamilah menunjukkan ayam 'engkong' yang dimasak di Kampung Parit Panjang Ayer Baloi, Pontian.
Hamilah menunjukkan ayam 'engkong' yang dimasak di Kampung Parit Panjang Ayer Baloi, Pontian.

“Jika dulu proses merebus ayam memakan masa agak lama tetapi kini periuk tekanan digunakan bagi memudahkan ayam cepat lembut.

Artikel Berkaitan:

"Selepas ayam lembut dan masak, bahan-bahan rempah yang telah dikisar akan dimasak bersama ayam.

“Proses perapan iaitu menggaul ayam bersama rempah perlu dilakukan dengan berhati-hati,” katanya.

Kamal Ibrahim yang menjalankan perniagaan di Kampung Parit Panjang, Ayer Baloi dengan dibantu isterinya, Hamilah Mohd Amin, 51, mengakui Ramadan memberi rezeki buatnya untuk mengembangkan lagi perniagaannya.

"Saya dan isteri mengusahakan 'ayam engkong' selepas hidangan tradisi masyarakat Jawa itu mendapat pujian Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sewaktu Kembara Mahkota Johor ketika itu.

"Kami terus mengusahakan ayam 'engkong' dengan menerima tempahan dan membuka kedai makan di hadapan rumah. Kini ayam 'engkong' sudah mendapat permintaan daripada penduduk di Johor Bahru, Batu Pahat dan Kulai," katanya.