Sedekah tapi membazir...

Lambakan sumbangan makanan Ramadan. Foto: gambar tular
Lambakan sumbangan makanan Ramadan. Foto: gambar tular
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Ramadan menyebabkan orang ramai berlumba-lumba mengejar pahala sehingga tanpa sedar melakukan pembaziran melalui lambakan bantuan makanan kepada golongan gelandangan yang akhirnya menjadi sampah.

Pengasas Pertiwi Soup Kitchen, Datuk Munirah Abdul Hamid berkata, situasi tersebut dihadapi setiap kali Ramadan disebabkan sikap penyumbang yang tidak sepakat dalam menyalurkan bantuan melalui sistem yang teratur.

Menurutnya, keadaan itu sedikit terkawal semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu namun isu lambakan makanan kembali berlaku di Kuala Lumpur selepas kelonggaran peralihan fasa endemik bermula 1 April lalu.

"Kami tegur tapi kena marah pula dikatakan menyekat orang mahu beribadah tapi mereka tidak sedar telah membuat dosa kerana melakukan pembaziran.

"Kebajikan gelandangan ibu kota dipantau oleh agensi terlibat dibantu kumpulan badan bukan kerajaan (NGO) yang menyalurkan bantuan secara giliran bagi memastikan bantuan yang diterima diagihkan secara teratur dan berterusan," katanya mengulas isu pembaziran sumbangan makanan kepada gelandangan semasa Ramadan.

Program sumbangan makanan Pertiwi Soup Kitchen kepada golongan gelandangan kota.
Program sumbangan makanan Pertiwi Soup Kitchen kepada golongan gelandangan kota.

Beliau berkata, limpahan bantuan yang tidak mengikut saluran yang betul dikhuatiri berlakunya sindiket peminta sedekah kanak-kanak.

"Gelandangan ibu kota dan rakan jalanan tidak ramai berbanding golongan miskin bandar. Jika mahu salurkan bantuan boleh hubungi persatuan penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan cari golongan yang memerlukan di sana.

Artikel Berkaitan:

"Niat kena betul pastikan mahu beri sumbangan secara berterusan bukan hanya pada Ramadan sahaja. Rasulullah SWT pasti sedih jika lihat umatnya melakukan pembaziran," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Gagasan Warga Klang, Mohd Hedrhin Ramli berkata, bantuan perlu dilakukan secara berorganisasi dan secara berterusan tanpa tertumpu pada bulan Ramadan sahaja.

"Pembaziran makanan tidak akan berlaku jika penyumbang mencari lokasi yang betul-betul sesuai dan bekerjasama dengan NGO-NGO lain bagi memastikan sumbangan sampai kepada golongan sasar.

"Selain itu, bantuan tidak boleh tertumpu kepada makanan sahaja sebaliknya mereka perlu diberikan sokongan moral dan bantuan lain supaya tidak selamanya menjadi gelandangan," katanya.