Pas tidak perlu guna Taliban tingkat imej Islam

Khairil Nizam
Khairil Nizam
A
A
A

SHAH ALAM - Tiada keperluan untuk Pas menggunakan isu Taliban bagi meningkatkan imej Islamik parti itu, kata Ketua Penerangannya, Senator Khairil Nizam Khirudin.

Beliau berkata, sokongan kepada Taliban adalah selari dengan Dasar Luar Negara yang diamalkan Malaysia yang terkenal dengan reputasi sebagai broker perdamaian negara-negara Islam dan wilayah yang dilanda konflik.

“Pas menyokong kerajaan Taliban secara terbuka kerana Taliban adalah kerajaan yang mentadbir Afghanistan.

“Kerajaan Taliban perlukan sokongan untuk membangunkan semula Afghanistan selepas berjaya mencapai kemenangan dan kemerdekaan daripada cengkaman penjajahan.

“Tetapi, Pas tidak akan sama sekali menyokong apa sahaja bentuk keganasan yang berlaku di Afghanistan, keganasan bukanlah cerminan kerajaan Islam yang Pas perjuangkan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Pada Khamis, Ketua Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Normah Ishak dalam webinar bertajuk, “Alumni Afghan Generasi Seterusnya? Penilaian daripada SEA” mendakwa Pas menggunakan Taliban demi meningkatkan imej Islamiknya.

Normah berkata, Pas melakukan tindakan sedemikian apabila memuji kejayaan Taliban mengambil alih Afghanistan selepas tentera Amerika Syarikat berundur dari negara bergolak itu Ogos, tahun lalu.

Mengulas lanjut, Khairil Nizam berkata, perjuangan Islam adalah perjuangan Pas dan isu-isu membabitkan Islam sama ada di Malaysia mahu pun negara-negara Islam lain seperti Afghanistan dan Palestin akan terus diperjuangkan.

Artikel Berkaitan:

“Rekod pentadbiran Pas di Kedah, Terengganu dan Kelantan adalah bukti perjuangan Islam Pas yang meletakkan kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan.

“Hak dan kebebasan masyarakat bukan Islam juga terpelihara. Imej Islamik pada pentadbiran Pas di negeri-negeri tersebut tidak menjadi penghalang pembangunan dan peningkatan pelaburan luar.

“Ini jelas membuktikan bahawa Pas tidak memerlukan retorik sokongan politik kepada sesetengah kumpulan untuk meningkatkan imej Islam parti.

“Pas menyeru seluruh umat Islam memberi sokongan kepada Afghanistan untuk bangun semula membina negara mereka berlandaskan kesejahteraan yang dianjurkan Islam dan terus menegakkan Islam di Afghanistan tanpa menggunakan keganasan,” jelas beliau.