Jangan tangguh RUU Anti Lompat Parti: Ahmad Maslan

Datuk Seri Ahmad Maslan. - Foto ROSLI SELI
Datuk Seri Ahmad Maslan. - Foto ROSLI SELI
A
A
A

PONTIAN- Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menggesa agar pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti tidak ditangguhkan lagi dan perlu disegerakan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ahli Parlimen Pontian itu menegaskan RUU terbabit cukup penting bagi membendung lompat parti daripada terus berlaku dan mengkhianati mandat rakyat.

"Sudah tentu UMNO kesal dengan penangguhan pembentangan RUU Anti Lompat Parti ini. Saya berpandangan seperti berlakunya ‘gangguan’ oleh pihak tertentu yang merasa kurang senang dengan pindaan perlembagaan itu.

"Proses pindaan RUU Anti Lompat Parti tidak selancar yang diharapkan bagi menghalang tindakan Ahli Parlimen melompat parti," katanya ketika ditemui selepas meninjau Bazar Ramadan di Pekan Ayer Baloi, di sini pada Khamis.

Menurut beliau, UMNO adalah parti paling terkesan apabila terdapat ahli Parlimennya yang melompat parti selepas Barisan Nasional (BN) tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

"Perlu diingatkan, UMNO adalah parti yang paling terkesan apabila 15 Ahli Parlimennya menyertai Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas (PRU14).

“Tindakan mereka telah mengkhianati mandat yang telah diberikan oleh pengundi di kawasan masing-masing yang mengundi mereka sebagai calon Barisan Nasional (BN),” katanya.

Media pada Rabu melaporkan kabinet tidak bersetuju dengan cadangan RUU Anti Lompat Parti yang sepatutnya dibentangkan dalam sidang khas Dewan Rakyat pada Isnin ini.

Artikel Berkaitan:

Perkara itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bagaimanapun menjelaskan sidang khas Dewan Rakyat akan diteruskan dengan pembentangan pindaan Perlembagaan bagi memudahkan RUU Anti Lompat Parti itu dibentangkan nanti.