MUSA: Melaka United perlu selesaikan segera isu tunggakan gaji

Laporan Sukan Sinar pada 7 April.
Laporan Sukan Sinar pada 7 April.
A
A
A

ISU tunggakan gaji yang melanda kelab Liga Super, Melaka United sejak tiga bulan lalu perlu diselesaikan segera bagi memastikan skuad Hang Tuah tersebut kekal berdaya saing dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Malah menurut Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Datuk Seri Sulaiman Md Ali, isu gaji tertunggak itu di bawah tanggungjawab Melaka United sepenuhnya selepas ia diswastakan dan bukan lagi menjadi tanggungjawab negeri atau MUSA.

Jelas Sulaiman, beliau telah berhubung dengan Ketua Pegawai Eksekutif Melaka United, Datuk Seri Justin Lim memintanya supaya menyegerakan pembayaran memandangkan kelab berkenaan membawa nama Melaka.

“Saya telah berjumpa Datuk Seri Justin dan maklumkan pembayaran gaji itu perlu dibuat dari masa ke masa. Saya tahu masalah gaji mungkin berlaku kerana terdapat gaji pemain terlalu tinggi, namun Melaka United perlu bayar secara keseluruhan, tidak bolehlah pilih-pilih pemain.

“Jika tidak, ia boleh melemahkan semangat para pemain dan mereka akan 'demotivated'. Kalau nak suruh mereka bermain di atas padang, mereka akan sekadar main sahaja dan tidak bersemangat,” katanya yang juga Ketua Menteri Melaka pada sidang media di pejabatnya di Seri Negeri, pada Khamis.

Mengulas lanjut mengenai isu itu, Sulaiman berkata, pihaknya tidak dimaklumkan mengenai punca berlakunya perkara tersebut, sebaliknya hanya diketahui pengurusan kelab tersebut sahaja.

“Saya memang tidak tahu apa punca sehingga terjadi lagi isu sama, kena tanya Melaka United sendiri. Cuma yang saya tahu masalah gaji ini bukan sahaja berlaku di Melaka, tetapi juga dalam beberapa kelab bola sepak lain di Malaysia,” katanya.

Artikel Berkaitan: