Trump bikin kecoh lagi

Negara antarabangsa mengiktiraf Bukit Golan yang diduduki Israel sebagai wilayah Syria.
Negara antarabangsa mengiktiraf Bukit Golan yang diduduki Israel sebagai wilayah Syria.
A
A
A

WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, semalam mencetuskan kemarahan banyak pihak selepas beliau sekali lagi membuat keputusan kontroversi yang memihak kepada Israel.

Menerusi Twitter, jutawan hartanah tersebut menyentuh isu Bukit Golan yang diduduki Israel sejak Perang Enam Hari pada 1967 yang menandakan peralihan dramatik dalam dasar luar AS dan memberikan sokongan kepada Perdana Menteri Benjamin Netanyahu di tengah-tengah kempen beliau untuk bertanding semula dalam pilihan raya pada 9 April depan.

"Selepas 52 tahun, sudah tiba masanya AS mengiktiraf sepenuhnya kedaulatan Israel ke atas Bukit Golan yang merupakan kepentingan strategik dan keselamatan penting kepada Israel dan kestabilan serantau!" kata Trump di akaun blog mikro tersebut.

Pengiktirafan di kawasan pertikaian itu yang dirampas Israel lebih lima dekad lalu itu bagaimanapun tidak diperakui negara antarabangsa.

Sementara itu, pegawai kanan pentadbiran Rumah Putih memaklumkan Trump telah berbincang tentang isu Bukit Golan tersebut bersama beberapa penasihatnya termasuk Setiausaha Negara, Mike Pompeo sejak beberapa hari lalu.

Susulan pengumuman kontroversi itu, Liga Arab, Rusia, Iran dan Turki bertindak memberi amaran keras terhadap AS selepas Trump mengumumkan beliau akan mengiktiraf Bukit Golan sebagai wilayah Israel.

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan berkata, keputusan Trump itu telah membawa wilayah tersebut ke dalam krisis baharu.

"Kita tidak bole benarkan legitimasi pendudukan ke atas Bukit Golan," tegasnya ketika berucap dalam mesyuarat Pertubuhan Majlis Kerjasama Islam (OIC) di Istanbul.

Artikel Berkaitan:

Syria turut mengecam keputusan Trump tersebut.

"Kedudukan AS terhadap Bukit Golan jelas mencerminkan penghinaan Washington terhadap legitimasi antarabangsa dan pencabulan terhadap undang-undang antarabangsa. Ia adalah satu bentuk ancaman kepada keamanan dan keselamatan global," kata Kementerian Luar Syria dalam satu kenyataan.

Difahamkan, AS akan menjadi negara pertama membuat pengiktirafan seumpama itu yang mana komuniti antarabangsa mengiktiraf ia sebagai wilayah Syria yang diduduki Israel.

Sebelum ini, Trump mencetuskan kemarahan antarabangsa selepas ia mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel selain turut memindahkan Kedutaan AS ke Kota Lama terbabit. - Agensi