Pengecualian tol di sempadan Johor-Singapura tamat esok

Tempoh pengecualian bayaran tol di plaza tol sempadan negara di Johor akan berakhir Khamis. - Foto: AFP
Tempoh pengecualian bayaran tol di plaza tol sempadan negara di Johor akan berakhir Khamis. - Foto: AFP
A
A
A

SHAH ALAM- Tempoh pengecualian bayaran tol di plaza tol sempadan Johor-Singapura akan berakhir Khamis.

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dalam kenyataannya berkata, kutipan tol akan disambung semula di Plaza Tol di Bangunan Sultan Iskandar (Tambak Johor) dan Tanjung Kupang (Linkedua) bermula Jumaat.

"Pelanggan lebuh raya PLUS dinasihatkan supaya memastikan kad Touch 'n Go serta e-Wallet Touch 'n Go mereka aktif dan mempunyai baki yang mencukupi bagi membolehkan mereka menikmati perjalanan yang lancar dan tidak terganggu apabila operasi kutipan tol tersebut bersambung.

"Bagi pelanggan lebuh raya yang menggunakan RFID untuk sistem VEP juga boleh mula menggunakan sistem tersebut di lorong RFID di Bangunan Sultan Iskandar dan Tanjung Kupang. Untuk maklumat lanjut tentang tag RFID bayaran VEP, sila layari www.vep.ipi.gov.my," jelas kenyataan itu pada Rabu.

Sementara itu, menurut PLUS, pemandu Singapura yang bercadang menambah nilai kad Touch 'n Go mereka di Johor, boleh berbuat demikian di lapan pusat tambah nilai di lebuh raya Linkedua.

Selain itu, terdapat banyak pusat menambah nilai kad Touch 'n Go di lokasi-lokasi sekitar Tambak Johor manakala stesen minyak dan kedai serbaneka 24 jam turut menyediakan perkhidmatan menambah nilai kad Touch 'n Go.

"Sebagai tambahan, urusan tambah nilai turut boleh dilakukan di kiosk layan diri di plaza tol dan kawasan rehat yang terpilih.

"Pelanggan lebuh raya juga boleh merancang perjalanan mereka apabila memuat turun Aplikasi PLUS yang boleh menghubungkan pelanggan terus ke talian PLUSLine 1800 88 0000 sekiranya berlaku kecemasan," jelas PLUS.

Artikel Berkaitan:

Terdapat lebih daripada 120 orang anggota PLUSRonda di jajaran lebuh raya di Johor yang sentiasa bersedia memberikan bantuan dan pertolongan di lebuhraya apabila diperlukan, 24 jam setiap hari.