Pegawai, anggota, veteran ATM terima bantuan Aidilfitri

Hishammuddin
Hishammuddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 120,615 pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang sedang berkhidmat serta kira-kira 200,000 veteran ATM akan menerima manfaat Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pada Selasa.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata menerusi Mesyuarat Kabinet hari ini (Rabu) mengesahkan bantuan khas kewangan tersebut merangkumi pegawai dan anggota serta veteran ATM yang berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) sama ada berpencen atau tidak berpencen.

"Bagi veteran ATM yang masih belum berdaftar dengan JHEV, disarankan agar segera melakukan pendaftaran yang membolehkan manfaat bantuan khas kewangan ini dinikmati.

"Kementerian Pertahanan percaya, bantuan khas kewangan ini sedikit sebanyak akan dapat membantu anggota dan veteran ATM melakukan persiapan menjelang sambutan perayaan pada 1 Syawal,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Hishammuddin turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Ismail Sabri dan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz serta Kabinet kerana mengambil kira anggota dan veteran ATM dalam pemberian Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri ini serta bantuan-bantuan lain sebelum ini.

"Ini bukan sahaja menggambarkan keprihatinan terhadap soal kebajikan warga ATM tetapi juga menyerlahkan penghargaan yang tidak berbelah bahagi terhadap jasa serta pengorbanan para anggota dan veteran ATM kepada negara,” katanya.

Pada Selasa, kerajaan bersetuju memberikan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam Gred 56 dan ke bawah, termasuk kakitangan di bawah skim Contract Of Service, Contract For Service, pegawai sambilan harian serta lantikan di bawah Malaysia Short-Term Employment Programme (MySTEP) dan RM250 kepada pesara kerajaan. - Bernama

Artikel Berkaitan: