Suspek cabul dua wanita di Cyberjaya diberkas

Gambar hiasan. Gambar kecil: Wan Kamarul Azran
Gambar hiasan. Gambar kecil: Wan Kamarul Azran
A
A
A

SEPANG - [DIKEMASKINI] Seorang pemandu e-hailing ditahan kerana disyaki terlibat dalam dua kes cabul di sebuah bangunan di Cyberjaya pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, suspek berusia 20 tahun itu ditahan di Taman Putra Perdana, Puchong pada Rabu.

"Kita turut merampas barang kes yang digunakan oleh suspek semasa kejadian," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Wan Kamarul Azran berkata, hasil semakan rakaman kamera litar tertutup pada hari kejadian mendapati suspek berada di bangunan itu pada jam 1.57 petang.

"Suspek menunggang motosikal Yamaha Lagenda 115 ZR warna merah dan meletakkan kenderaan itu di kawasan parkir, kemudian berjalan kaki menghala ke kaki lima bangunan tersebut," katanya.

Wan Kamarul Azran memaklumkan suspek mengaku terlibat dalam kes yang disiasat.

Pada Rabu, media melaporkan kejadian kes cabul pertama berlaku pada jam 2 petang manakala kes kedua berlaku 15 minit kemudian.

Kes pertama, seorang pembantu peribadi berusia 27 tahun dicabul di parkir bangunan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Wanita itu dicabul ketika suspek cuba membantu mengambil troli yang dibawa mangsa.

Wam Kamarul Azran berkata, mangsa memaklumkan suspek memakai seluar panjang berwarna hitam dan baju lengan panjang warna hitam.

"Mangsa melihat lelaki itu bermata juling dan menyatakan tidak mengenali suspek serta mendakwa mereka tidak pernah berjumpa sebelum ini," katanya.

Kes kedua pula membabitkan wanita berusia 34 tahun di hadapan lif di tingkat dua bangunan yang sama.

Beliau berkata, kes berlaku ketika mangsa menunggu lif dan secara tiba-tiba didatangi lelaki dari arah belakang.

"Lelaki berkenaan memeluk dan mencabul mangsa. Wanita itu cuba memusingkan badan untuk melepaskan diri sebelum suspek menolak mangsa sehingga terjatuh dan suspek terus melarikan diri," katanya.

Katanya, polis sudah mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati suspek adalah orang sama dengan kejadian pertama.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan," katanya.