Kerani rugi diperdaya 'Kak Na'

No Image Caption
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang kerani berusia 35 tahun kerugian RM3,050 selepas terpedaya dengan tawaran seorang wanita yang dikenali sebagai Kak Na di Kuala Krai pada Disember tahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kelantan, Asisten Komisioner Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa dikatakan telah terpedaya dengan 'pujukan' Kak Na yang mendakwa anaknya mampu mengubati adik mangsa untuk berkelakuan lebih baik dan elok.

“Mangsa kemudian bersetuju untuk mengubati adiknya dengan wanita berkenaan," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Menurutnya, susulan itu mangsa telah membuat transaksi bayaran sebanyak tujuh kali kepada tiga akaun bank berlainan bermula dari Januari sehingga Februari lalu.

Beliau berkata, transaksi itu membabitkan nilai berjumlah RM3,050.

Mohd Wazir berkata, bayaran terbabit akan dikembalikan semula kepada mangsa selepas proses perubatan itu selesai.

"Bagaimanapun sehingga kini (selepas berubat) adik mangsa tidak menunjukkan sebarang perubahan yang baik.

"Merumitkan keadaan, mangsa gagal menghubungi suspek. Mangsa yang merasakan telah tertipu tampil membuat laporan polis pada 18 Mac lalu di Balai Polis Kuala Krai,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.