Bantuan khas Aidilfitri bukti penghargaan kepada penjawat awam

Adnan
Adnan
A
A
A

SHAH ALAM - Pemberian Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri penjawat awam bukti penghargaan kepada usaha keras mereka dalam menjalankan tanggungjawab dengan penuh amanah terhadap rakyat.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Adnan Mat berkata, justeru pihaknya berharap semua penjawat awam meneruskan momentum kecemerlangan dalam menjalankan tanggungjawab masing-masing bagi menjayakan agenda pemulihan ekonomi serta dasar prihatin rakyat.

“Dengan keprihatinan kerajaan ini, penjawat awam harus kekal fokus kepada tugas dan sudah pasti kerajaan menuntut kepada produktiviti dan integriti,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan bahawa penjawat awam gred 56 dan ke bawah menikmati durian runtuh apabila kerajaan mengumumkan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM500.

Tambah Ismail, bantuan tersebut turut dinikmati oleh kakitangan di bawah skim Contract Of Service, Contract For Service, Pegawai Sambilan Harian serta lantikan di bawah MySTEP.

Dalam pada itu, Adnan berkata, bantuan itu juga turut memberi manfaat dan kesan secara tidak langsung kepada ekonomi negara.

“Dari sudut yang luas, pemberian bantuan khas kewangan ini secara tidak langsung memberi impak yang positif kepada ekonomi dan rakyat apabila wang tersebut beredar ke pasaran.

“Bantuan kewangan tersebut sudah pasti akan dibelanjakan untuk membeli barangan keperluan dan ia akan memanfaatkan peniaga-peniaga kecil, pasar raya besar dan sektor-sektor ekonomi yang lain.

Artikel Berkaitan:

“Tambahan pula ramai rakyat yang berniaga di musim perayaan bagi menambah pendapatan mereka,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau berkata, Cuepacs berharap semua pihak berlapang dada dan tidak mempertikaikan keputusan kerajaan memberikan bantuan Aidilfitri kepada penjawat awam.

“Kerajaan merupakan majikan kepada penjawat awam dan tidak menjadi kesalahan untuk mereka meminta sesuatu bantuan daripada majikan sendiri.

“Makluman awal yang diumumkan oleh Perdana Menteri memberi kelegaan kepada keseluruhan warga penjawat awam dan pesara kerajaan yang akan menyambut Aidilfitri pada bulan hadapan,” jelasnya.