Terpaksa berhenti kerja jaga anak hidap leukemia

Kemoterapi Muhammad Nasruddin yang dijadualkan pada Isnin di Hospital Pulau Pinang terpaksa ditunda kerana keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan. - Foto Foccan
Kemoterapi Muhammad Nasruddin yang dijadualkan pada Isnin di Hospital Pulau Pinang terpaksa ditunda kerana keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan. - Foto Foccan
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang ibu tunggal di Kampung Pida 2, Mukim Jeram tidak mempunyai pilihan selain berhenti kerja sebagai polis bantuan bagi memberi tumpuan kepada anak keduanya yang menghidap leukemia sejak April tahun lalu.

Noor Fazlin Ghazali, 35, berkata, anaknya Muhammad Nasruddin Nasri, 12, perlu dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar, Perlis bagi menjalani rawatan secara berkala.

Menurutnya, doktor pakar mengesahkan anaknya menghidap leukemia limfloblastik akut (ALL) selepas kerap demam pada sebelah malam selain mengalami pendarahan gusi dan perutnya turut membesar akibat hati membengkak.

"Saya perlu membawa Muhammad Nasruddin ke hospital secara berkala, disebabkan itu terpaksa berhenti kerja sebagai polis bantuan di Klang dan pulang ke kampung.

" Anak saya telah menjalani kemoterapi sebanyak enam kali tahun lalu dan keadaannya hanya baik buat sementara waktu namun kembali sakit pada Disember.

"Keadaan darah putihnya tidak stabil dan mencecah sehingga 70 peratus pada Januari lalu. Anak sepatutnya menjalani sesi kemoterapi di Hospital Pulau Pinang (HPP) pada Isnin tetapi terpaksa ditunda kerana demam," katanya ketika dihubungi pemberita pada Isnin.

Menurutnya Noor Fazlin, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah hadir ke rumah mendapatkan maklumat dan dia berharap permohonan diluluskan agar dapat digunakan menampung perbelanjaan dan perubatan anaknya.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Nasruddin (dua dari kanan) bergambar bersama keluarganya pada tahun lalu. - Foto Noor Fazlin
Muhammad Nasruddin (dua dari kanan) bergambar bersama keluarganya pada tahun lalu. - Foto Noor Fazlin

"Tiga lagi anak saya berusia 14, sembilan dan tujuh tahun juga masih bersekolah dan mereka tinggal bersama orang tua saya di kampung.

"Orang tua saya menolong menjaga anak-anak sewaktu saya menemani Muhammad Nasruddin mendapatkan rawatan di hospital. Tempoh berada di hospital tidak menentu, ada sebulan dan ada dua bulan," ujarnya yang terputus pendapatan dan bergantung kepada keluarganya sahaja yang bekerja kampung dan mengusahakan sawah.

Noor Fazlin berkata, kos perbelanjaan yang tinggi perlu disediakan setiap bulan kerana Muhammad Nasruddin terpaksa minum susu khas selain kos ulang alik untuk mendapatkan rawatan di hospital.

Menurutnya, Persatuan Sahabat Kanak Kanak Kanser Wilayah Utara (FOCCAN) juga membantunya dengan melancarkan tabung bantuan kerana anaknya bakal menjalani rawatan intensif selama setahun.

"Saya akui banyak bergantung kepada keluarga saya walaupun mereka bukan orang senang. Namun banyak wang diperlukan untuk perbelanjaan anak-anak saya terutama Muhammad Nasruddin," katanya lagi.

Bagi mereka yang mahu menghulurkan bantuan kepada Noor Fazlin yang kini berada di HPP boleh menghubunginya di talian 016-8805546.