Gelombang haba: 13 kawasan berada pada paras berjaga-jaga

13 kawasan diletakkan pada paras berjaga-jaga berbanding 11 semalam. - Sumber laman web MET Malaysia
13 kawasan diletakkan pada paras berjaga-jaga berbanding 11 semalam. - Sumber laman web MET Malaysia
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jumlah kawasan di Semenanjung yang berada pada paras berjaga-jaga atau tahap satu dengan suhu mencecah antara 35 hingga 37 darjah Celcius hari ini, meningkat kepada 13 kawasan berbanding 11, semalam.

Berdasarkan kemas kini Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) pada jam 4.40 petang tadi, dua kawasan yang baharu mengalami gelombang haba itu adalah Maran, Pahang dan Tanah Merah, Kelantan.

Sementara, Tangkak (Johor), Chuping (Perlis), Jerantut (Pahang), Kota Setar, Pendang dan Sik (Kedah), Hulu Perak dan Kinta (Perak), Kuala Krai, Jeli dan Gua Musang (Kelantan) kekal seperti semalam.

Untuk rekod, suhu maksimum harian kurang daripada 35 darjah Celcius adalah dikategorikan sebagai normal, manakala tahap satu (berjaga-jaga) pula suhu maksimum harian 35 hingga 37 darjah Celcius sekurang-kurangkan tiga hari.

Bagi suhu tahap dua pula adalah melebihi 37 hingga 40 darjah Celsius dalam tiga hari berturut-turut dan tahap ketiga (kecemasan) suhu maksimum melebihi 40 darjah Celsius tiga hari berturut-turut.

Dalam pada itu, kualiti udara di seluruh negara merekodkan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) berada pada tahap sederhana dan baik.

Berdasarkan kemas kini Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) pada jam 6 petang tadi merekodkan hanya Balok Baru, Kuantan, Pahang mencatatkan bacaan IPU tertinggi iaitu 92.

Bacaan IPU 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, antara 51 dan 100 (sederhana), antara 101 dan 200 (tidak sihat), antara 201-300 (amat tidak sihat) dan lebih 301 (berbahaya).

Artikel Berkaitan: